KUALA LUMPUR – Seramai 50 pelabur tampil menuntut keadilan selepas mengalami kerugian hampir RM15 juta susulan penglibatan dalam skim pelaburan anjuran syarikat Alpha Capital (M) Berhad yang didakwa bermasalah sejak tahun 2023.
Bertindak bagi pihak para pelabur, firma guaman Tetuan Hisyam Yunus & Co telah memfailkan Petisyen Penggulungan Syarikat (Winding Up) terhadap Alpha Capital di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai langkah undang-undang untuk memulihkan dana pelaburan dan mendapatkan keadilan sewajarnya.
Menurut Peguamcara Pempetisyen, Tuan Muhammad Hisyam Md Yunus, syarikat terbabit bukan sahaja gagal menunaikan janji pulangan pelaburan seperti dipersetujui, bahkan melanggar perintah mahkamah yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Alpha Capital bukan sahaja gagal menunaikan janji pulangan pelaburan, malah turut melanggar perintah Injunksi Mareva yang dikeluarkan oleh Mahkamah pada September 2024. Justeru, kami percaya bahawa penggulungan syarikat ini adalah langkah paling wajar dan perlu bagi membela nasib para pelabur,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat firma tersebut.
Tindakan penggulungan ini membolehkan segala transaksi syarikat, audit serta pengurusan aset diperiksa secara teliti oleh pelikuidasi mahkamah. Langkah ini juga penting untuk memastikan wang pelabur yang hilang dapat dikesan dan dikembalikan menerusi proses perundangan yang sah.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara selama 20 hari dan denda RM10,000 setiap seorang terhadap dua pengarah syarikat, Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dan isterinya, Erna Elliyana Rosli yang juga merupakan bekas penyanyi. Mereka didapati bersalah kerana menghina mahkamah apabila gagal mematuhi dua perintah Mareva bertarikh 5 September dan 22 November 2024.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Yusrin Faidz Yusoff membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara selama dua bulan bermula hari ini bagi memberi ruang kepada pasangan tersebut mematuhi sepenuhnya arahan mahkamah. Jika gagal, hukuman penjara akan dikuatkuasakan.
Mahkamah turut memberi amaran bahawa kegagalan membayar denda RM10,000 dalam tempoh tujuh hari akan mengakibatkan tambahan tujuh hari penjara.
Kerugian Besar, Pelabur Hilang Wang Simpanan
Menurut Hisyam, kes ini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan besar, malah turut memberi impak emosi dan psikologi kepada mangsa yang rata-ratanya adalah pelabur. Antara yang terjejas termasuk seorang pelabur yang mengalami kerugian sehingga RM1 juta dan seorang lagi yang kehilangan keseluruhan wang simpanan berjumlah RM600,000.

“Mereka dijanjikan pulangan sehingga 5% sebulan, tetapi selepas beberapa bulan bayaran terhenti, diikuti dengan pelbagai alasan dan kegagalan memberi penjelasan munasabah,” katanya.
Setakat ini, saman sivil yang difailkan mewakili seramai 64 pelabur dengan jumlah tuntutan mencecah RM19.8 juta. Firma guaman tersebut menegaskan bahawa kes ini perlu menjadi peringatan serta precedent penting dalam sistem kehakiman negara.
Tetuan Hisyam Yunus & Co menekankan bahawa keputusan kes yang dijangka akan diputuskan pada 4 November 2025 bukan sahaja memberi kelegaan kepada para pelabur, malah berpotensi menjadi rujukan undang-undang penting dalam usaha melindungi pelabur yang menjadi mangsa penipuan korporat.
“Tindakan ini bukan semata-mata untuk mendapatkan kembali wang pelabur, tetapi juga untuk menegakkan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti dalam ekosistem pelaburan negara,” ujar Hisyam lagi.
Dengan perkembangan terbaru ini, pelabur berharap sistem perundangan negara akan berpihak kepada mereka yang menjadi mangsa dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
