KUWAIT – Kuwait pada Isnin mengumumkan pelancaran “air bridge” bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas kempen derma selama tiga hari yang dianjurkan kerajaan minggu lalu, lapor Xinhua.
Penolong Menteri Luar bagi Pembangunan dan Kerjasama Antarabangsa, Hamad Al-Meshaan berkata dana yang dikumpul akan digunakan untuk membeli bekalan bantuan daripada pasaran tempatan termasuk minyak, tepung dan keperluan asas lain.
Beliau berkata bekalan kemudiannya dihantar ke bandar El-Arish di Mesir menggunakan pesawat tentera sebelum diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir untuk diselaraskan dengan rakan sejawatnya dari Kuwait serta diagihkan kepada penduduk Gaza.
Al-Meshaan turut memaklumkan kemungkinan sebahagian bantuan akan dipindahkan ke Jordan bagi membolehkan tentera Jordan melakukan penghantaran bantuan melalui guguran udara ke Gaza.
Sebelum ini, Kementerian Luar Kuwait sekali lagi mengecam sekatan yang dikenakan oleh Israel ke atas wilayah terkepung itu, ketika kadar kebuluran dan kekurangan zat makanan bertambah buruk.
— BERNAMA
