DUBAI – Emirates memperkenalkan pelbagai inovasi dan kemudahan mesra akses bagi meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang kurang upaya menerusi reruai interaktif pada edisi kelapan AccessAbilities Expo 2026 yang berlangsung di Dubai World Trade Centre dari 19 hingga 21 Oktober lalu.
Pameran yang menghimpunkan perkembangan terkini dalam bidang aksesibiliti dan inovasi inklusif itu dirasmikan oleh Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Airline & Group merangkap penaung AccessAbilities Expo.
Antara inovasi yang diketengahkan Emirates termasuk konsep pengenalan kabin pesawat untuk penumpang buta atau yang mempunyai penglihatan terhad, ruang istirahat khas bagi pengguna kerusi roda dan penumpang dengan pergerakan terhad, serta pintu pelepasan berasaskan biometrik yang direka untuk memudahkan perjalanan penumpang kurang upaya.

Naib Presiden Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelanggan dan Audit Perkhidmatan Emirates, Mostafa Karam, berkata syarikat penerbangan itu komited membentuk masa depan penerbangan yang lebih inklusif dengan menjadikan aksesibiliti sebahagian daripada pengalaman pelanggan secara menyeluruh.
Menurutnya, usaha tersebut bukan sekadar tertumpu pada penyediaan perkhidmatan tertentu, sebaliknya melibatkan keseluruhan perjalanan penumpang, bermula daripada perancangan perjalanan dan persekitaran lapangan terbang hingga pengalaman di dalam pesawat serta ketika berada di destinasi.
“Berpandukan maklum balas pelanggan dan pengalaman sebenar mereka, tumpuan kami adalah terhadap penambahbaikan praktikal yang dapat mengurangkan halangan, memperluas pilihan serta membolehkan orang ramai melakukan perjalanan dengan lebih yakin, berdikari dan bermaruah,” katanya.
Pengalaman kabin imersif untuk penumpang bermasalah penglihatan
Antara tarikan utama reruai Emirates ialah pengalaman penerokaan kabin yang direka khusus untuk penumpang buta atau yang mempunyai penglihatan terhad.
Inisiatif itu menggabungkan teknologi audio ruang, penerokaan tempat duduk melalui sentuhan dan interaksi berpandu bersama petugas bagi membantu pengunjung memahami persekitaran kabin pesawat dalam suasana yang tenang dan selesa.
Pengunjung berpeluang duduk di tempat duduk sebenar pesawat Emirates A350 yang dilengkapi sandaran kepala U-Dream sambil mendengar penerangan audio mengenai pelbagai aspek kabin di sekeliling mereka.

Pendekatan tersebut bertujuan membantu penumpang membiasakan diri dengan persekitaran pesawat, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kebebasan mereka ketika melakukan perjalanan udara.
Selain itu, Emirates turut memperkenalkan konsep ruang istirahat mesra akses yang menyediakan ruang peribadi untuk berehat sebelum penerbangan, khususnya bagi pengguna kerusi roda, warga emas dan penumpang yang memerlukan sokongan mobiliti tambahan.
Ruang istirahat itu dilengkapi kerusi sandar elektrik dengan fungsi mengangkat, memusing dan merebahkan badan, palang sokongan terbina dalam serta ruang penyimpanan kerusi roda. Reka bentuknya turut mengekalkan kemasan premium menggunakan kayu, kulit dan marmar.
Prototaip tersebut sedang dibangunkan untuk Kelas Pertama, dengan kemungkinan diperluas kepada kelas penerbangan lain pada masa hadapan.
Teknologi biometrik dan kemudahan lapangan terbang
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB), Emirates turut memperkukuh penggunaan teknologi biometrik dan reka bentuk tanpa halangan menerusi sistem Emirates Biometric Path di Terminal 3.
Pintu pelepasan mesra akses membolehkan penumpang bergerak dengan lebih lancar dan berdikari. Sistem kamera fleksibel yang digunakan boleh melaraskan kedudukan serta sudut mengikut ketinggian pengguna, termasuk penumpang yang menggunakan kerusi roda.
Kiosk daftar masuk layan diri Emirates turut ditambah baik dengan pelbagai ciri aksesibiliti, termasuk fungsi teks-ke-pertuturan, skrin sentuh yang lebih mudah digunakan, tulisan Braille, ciri sentuhan, sambungan fon kepala untuk kemudahan audio dan antara muka yang boleh dilaraskan mengikut ketinggian.
Penambahbaikan itu bertujuan memastikan lebih ramai penumpang dapat menguruskan proses perjalanan secara berdikari dengan sokongan yang bersesuaian.
Lebih 400 keluarga menerima manfaat program latihan perjalanan
Selain memperkenalkan inovasi baharu, Emirates turut mengetengahkan program sedia ada yang membantu penumpang dengan keperluan khusus, termasuk Program Latihan Perjalanan Emirates (Emirates Travel Rehearsals Programme).
Program tersebut dianjurkan bersama lapangan terbang di seluruh dunia bagi membolehkan kanak-kanak dan golongan muda autistik, bersama keluarga serta rangkaian sokongan mereka, berlatih melalui proses perjalanan di lapangan terbang sebelum menaiki penerbangan sebenar.

Latihan itu membantu peserta membiasakan diri dengan suasana lapangan terbang, sekali gus mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan keyakinan untuk melakukan perjalanan udara.
Setakat ini, Emirates telah melaksanakan 80 sesi latihan di enam benua, dengan lebih 400 keluarga menerima manfaat daripada program berkenaan. Lebih 35,000 kakitangannya juga telah dilatih untuk memberikan sokongan kepada pelanggan autistik.
Dalam usaha memudahkan pelanggan membuat persediaan perjalanan, Emirates turut menyediakan Hab Perjalanan Mesra Akses dan Inklusif menerusi laman web rasminya, Emirates.com.
Hab berkenaan menghimpunkan maklumat berkaitan bantuan mobiliti, masalah penglihatan, masalah pendengaran dan ketidakupayaan yang tidak dapat dilihat secara luaran. Pelanggan juga boleh mendapatkan panduan mengikut peringkat perjalanan, termasuk sebelum penerbangan, ketika berlepas dari Dubai, sepanjang penerbangan, semasa transit dan ketika tiba di Dubai.
Kemudahan lain termasuk panduan perjalanan mesra autisme, peta Lapangan Terbang Dubai, panduan deria, maklumat perjalanan menggunakan kerusi roda dan alat bantuan mobiliti serta panduan bagi penumpang yang membawa ubat-ubatan atau peranti perubatan.
Produk deria dan sistem hiburan mesra akses
Emirates turut menyediakan rangkaian produk deria dan mainan fidget di semua kelas kabin untuk membantu penumpang berasa lebih selesa sepanjang penerbangan.
Antara produk yang ditawarkan ialah alat pengurang tekanan berbentuk pesawat, dua jenis kiub f
