CK KL Media 2025-8719

KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun berturut-turut menghibur peminat di Malaysia melalui konsert solo, Cakra Khan memilih untuk berehat bagi memberi tumpuan terhadap penghasilan karya baharu.

Pengumuman penuh emosi yang turut disusuli linangan air mata itu dibuat Cakra ketika menjayakan Konsert Cakra Khan Divine Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

“Terima kasih atas sokongan hebat yang kalian berikan kepada saya setiap kali membuat persembahan di sini.

“Sebenarnya, selepas ini saya ambil keputusan untuk berehat (daripada konsert). Sudah tiga tahun berturut-turut saya mengadakan konsert di Malaysia,” kata Cakra pada segmen akhir konsert berkenaan.

Penyanyi berusia 33 tahun itu kemudian menyampaikan lagu Harus Terpisah yang disifatkan antara karya memperkenalkan dirinya kepada peminat di Malaysia.

Cakra atau nama lengkap, Cakra Konta Paryaman juga berulang kali menzahirkan penghargaan buat peminat di Malaysia kerana sudah menyokong perjalanan seninya selama ini.

Penyanyi kelahiran Pangandaran, Jawa Barat, Indonesia ini mengakui dirinya sangat beruntung kerana berpeluang membuat persembahan sebanyak tiga kali berturut-turut di lokasi sama, iaitu Dewan Plenari, KLCC.

Sebelum ini, Cakra pernah beraksi dalam konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur pada 2023 sebelum meneruskan siri kedua konsert dengan judul sama, tahun lalu.

Menerusi persembahan malam tadi, Cakra menyampaikan sebanyak 26 lagu dengan gubahan muzik baharu yang lebih segar dan menghiburkan.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Mencari Cinta Sejati, Setelah Kau Tiada, Harus Terpisah dan Kepada Hati.

Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu bertambah gamat apabila Cakra turut menghiburkan peminat dengan lagu Bunyi Gitar nyanyian asal Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sebagai penutup acara dan ucapan selamat tinggal buat peminat, Cakra menghadiahkan lagu I Will Always Love You dendangan Whitney Houston dengan vokal cukup memukau.

Konsert anjuran Shiraz Projects itu juga menampilkan penyanyi jemputan seperti Marsha Milan, Titi DJ, Ade Govinda, Faisal Lubis dan kumpulan Trio XL.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading