zz

KUALA LUMPUR – Teguran terhadap peminjam Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang gagal melunaskan bayaran bukanlah satu bentuk kekerasan, sebaliknya satu tanggungjawab demi kelangsungan bantuan kepada generasi seterusnya.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan tindakan mengeluarkan notis selepas tiga bulan kegagalan membayar adalah wajar dan berprinsip.

“Ada yang menghantar mesej mempersoalkan kenapa saya terlalu keras kepada penghutang MARA, tiga bulan tak bayar sudah dapat notis, katanya nak tolong Melayu.

“Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar.

“Ramai lagi anak bangsa yang perlu dibantu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, dalam kenyataan di media sosial, beliau mengingatkan peminjam bahawa pembayaran semula pinjaman adalah asas kepada kelestarian dana MARA yang digunakan untuk membantu lebih ramai pelajar dan usahawan Bumiputera.

Menurutnya, sikap sambil lewa terhadap tanggungjawab membayar hutang bukan sahaja menjejaskan keupayaan MARA untuk terus memberi bantuan, malah mencerminkan kegagalan memelihara amanah.

MARA sebelum ini memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memudahkan peminjam membuat bayaran, termasuk skim pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran yang telah diluluskan oleh Majlis MARA.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading