KUALA LUMPUR – Tiga individu yang menggelarkan diri mereka sebagai content creator kini menjadi sasaran kemarahan netizen gara-gara rakaman video yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan menjijikkan apabila mereka memberikan nasi berisi tulang ayam kepada seorang lelaki gelandangan.
Dalam video tular dimuat naik ke akaun Instagram @aluk_777, ketiga-tiga mereka dilihat menikmati ayam goreng di sebuah restoran makanan segera, sebelum mengutip sisa tulang ayam dan memasukkannya ke dalam bungkusan nasi.
Lebih mengejutkan, bungkusan itu kemudiannya diserahkan kepada seorang lelaki yang dipercayai gelandangan kononnya sebagai ‘bantuan makanan’.
Tindakan biadab itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya mempersoal tindakan mereka.
Antaranya seorang pengguna media sosial menulis:
“How can someone wake up and think, ‘Jom buat konten makan KFC, lepas tu letak tulang dalam nasi dan bagi kat homeless?’ Tak masuk akal!”.
Malah orang ramai turut menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Isu ini turut mencetuskan perbincangan antara kaum, apabila netizen menolak tanggapan bahawa hanya satu bangsa sahaja yang marah.
Selepas menerima kecaman pengguna media sosial atas kandungan yang disifatkan biadap, seorang pempengaruh media sosial tampil memohon maaf berhubung video memaparkan seorang gelandangan menerima sebungkus nasi bersama tulang ayam sebagai sumbangan.
Hasil semakan mendapati video berkenaan telah dipadamkan.
Pengguna Instagram @aluk_77, yang mempunyai lebih 140,000 pengikut, menjelaskan bahawa lelaki gelandangan tersebut sebenarnya bersetuju untuk terbabit dalam penggambaran itu, dan telah dimaklumkan terlebih dahulu bahawa dia akan menerima nasi dan tulang ayam sebagai sebahagian daripada video berkenaan.
“Kami tidak berniat menghina sesiapa. Lelaki itu tahu dari awal lagi mengenai konsep video tersebut. Malah, selepas rakaman, kami beri dia makanan lengkap yang mengandungi dua ketul ayam goreng,” katanya dalam satu video permohonan maaf.
Menurutnya, video itu sepatutnya menjadi permulaan kepada siri kandungan amal yang dirancang, namun tidak menjangka ia akan menerima kecaman sebegitu hebat daripada masyarakat.
“Kami akui ini kesilapan kami. Kami minta maaf. Selepas ini kami akan lebih ikhlas dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dan menghasilkan kandungan yang lebih bermakna,” tambahnya.
Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk gesaan agar pihak berkuasa menyiasat tindakan tersebut yang disifatkan sebagai menjatuhkan maruah golongan kurang bernasib baik demi kandungan media sosial.
