Copy of IMG_6477 2

Cyberjaya – Usaha Sarawak untuk menjadi sebuah negeri pintar dan mampan menjelang tahun 2030 menerima dorongan baharu dengan penganjuran Seminar Tech-Garage Edisi Kelima yang bertemakan “Robotic Facility Management for a Better Sarawak”, bertempat di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka.

Seminar yang dianjurkan oleh Leave a Nest Malaysia dengan kerjasama syarikat robotik Jepun, UGO Inc., serta disokong oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) itu berjaya menghimpunkan 36 peserta daripada 21 organisasi merangkumi institusi pengajian tinggi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Seminar ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi robotik dalam pengurusan fasiliti, sebagai sokongan kepada agenda digitalisasi Sarawak ke arah masyarakat yang pintar, inklusif dan lestari.

Menurut Penolong Pengurus Leave a Nest Malaysia, Dr. Hadi Akbar Dahlan, pihaknya komited dalam menghubungkan sains dan masyarakat melalui inovasi akademik yang berpotensi dikomersialkan. Manakala Pengurus Inovasi dan Keusahawanan SDEC, Khairool Adzelan, dalam ucapannya menegaskan komitmen Sarawak untuk membangunkan ekonomi berasaskan data dan berdaya saing di peringkat global.

Antara sorotan utama seminar ialah demonstrasi robotik pintar oleh UGO Inc., yang memperkenalkan dua produk utama mereka ugo Pro dan ugo Mini yang direka khas untuk tugasan seperti pemeriksaan fasiliti, pemantauan persekitaran, penyelenggaraan prediktif dan keselamatan. Teknologi ini sesuai digunakan di loji kuasa, kilang, pusat data dan kemudahan utiliti.

UGO Inc., yang berpangkalan di Tokyo dan diasaskan pada tahun 2018, turut mempamerkan ugo Platform, iaitu gabungan perkakasan moden seperti kamera 4K teleskopik, penderia persekitaran, lengan robotik serta perisian berasaskan kecerdasan buatan (AI), automasi tanpa kod dan kawalan jarak jauh.

Menurut wakil UGO Inc., Roy Hadrien, teknologi mereka telah terbukti mampu menjimatkan masa pemeriksaan sehingga 70 peratus dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual dan merupakan satu penyelesaian praktikal dalam menangani kekurangan tenaga kerja serta isu penuaan demografi.

Menariknya, demonstrasi kawalan robot secara silang sempadan turut diadakan, di mana robot ugo dikendalikan secara langsung dari Sarawak untuk menjalankan tugas di Jepun, sekali gus membuktikan keupayaan teknologi ini untuk beroperasi secara global.

Seminar turut disertai oleh syarikat tempatan, Robopreneur Sdn. Bhd, pengedar rasmi UGO di Malaysia, yang memperkenalkan platform Robot-as-a-Solution serta teknologi Vision AI. Diasaskan oleh Dr. Hanafiah Yussof, syarikat ini kini aktif di 12 negara dan sedang membangunkan robot humanoid tempatan seperti ADAM, HANA dan HAN, yang dijangka dikomersialkan menjelang 2032.

Selain pembentangan teknikal, seminar juga menampilkan sesi perbincangan kumpulan melibatkan lima topik penting seperti keperluan robot di Sarawak, kesediaan infrastruktur, strategi kelestarian, jurang permintaan dan penawaran, serta pendekatan komuniti secara inklusif.

Sesi rumusan seminar menunjukkan minat mendalam dan kesediaan peserta tempatan untuk meneroka penyelesaian kolaboratif dalam bidang robotik, membuka peluang kepada kerjasama lebih luas pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia, Abdul Hakim Sahidi, menegaskan pentingnya pendekatan dua hala dalam menyesuaikan teknologi dengan keperluan setempat serta menyatakan harapan agar kerjasama antara pihak antarabangsa dan Sarawak terus diperkukuh demi pembangunan mampan jangka panjang.

Seminar diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan mesra, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha membawa teknologi robotik ke tengah arus pembangunan negeri Sarawak.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading