Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara mengadakan Majlis Perasmian Pameran dan Katalog Projek Arkib: Chung Chen Sun pada 5 Ogos 2025 di Balai Seni Negara. Penganjuran pameran ini bertujuan memperkenalkan serta menghidupkan semula legasi mendiang Chung Chen Sun, seorang tokoh pelukis dakwat Cina dan pendidik seni yang berpengaruh di Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Turut hadir ialah YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah LPSVN, pegawai kanan MOTAC, wakil jabatan dan agensi, serta ahli keluarga mendiang Chung Chen Sun.
Sebagai edisi ketiga dalam siri Projek Arkib anjuran Balai Seni Negara, pameran ini menghimpunkan pelbagai bahan dokumentasi penting seperti foto, lakaran, katalog dan rakaman wawancara yang memberikan gambaran menyeluruh tentang proses kreatif dan pemikiran seni Chung Chen Sun. Selain karya dakwat Cina yang menjadi identiti beliau, turut dipamerkan adalah lukisan minyak dan pastel yang jarang dipaparkan kepada umum, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian teknik serta evolusi gaya seni beliau sepanjang kerjaya.

Sebagai salah seorang pengasas Malaysian Institute of Art (MIA), Chung Chen Sun telah memberikan sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang seni lukis, malah turut memperkasa bidang pendidikan seni di Malaysia. Melalui pelbagai bahan arkib yang dihimpunkan, pameran ini bukan sahaja menjadi rujukan penting dalam sejarah seni, malah memperluas pemahaman tentang peranan dan sumbangan beliau dalam membentuk landskap seni tempatan, khususnya dalam konteks sejarah dan budaya Malaysia.
Pameran ini disusun berdasarkan falsafah Konfusianisme sebagai kerangka utama, mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjiao atau Tiga Ajaran yang menggabungkan elemen Daoisme, Konfusianisme dan agama Buddha dalam karya serta pemikiran beliau.
Tema pameran dibahagikan kepada enam segmen, merangkumi perjalanan beliau dari peringkat nasional ke antarabangsa, pertukaran budaya dan seni antara Malaysia dan China, modenisasi lukisan dakwat yang menggabungkan pendekatan seni Timur dan Barat, peranan beliau dalam pendidikan seni, sisi peribadi dan kekeluargaan, serta sumbangan beliau sebagai penderma karya seni. Pembahagian ini memberikan struktur yang lebih jelas dan memudahkan pengunjung menyelami keseluruhan naratif pameran.
Majlis perasmian turut menyaksikan pelancaran katalog Projek Arkib: Chung Chen Sun, yang menghimpunkan pelbagai maklumat penting berkaitan pameran. Katalog ini merangkumi karya-karya terpilih, bahan arkib, serta sorotan perjalanan seni dan sumbangan Chung Chen Sun. Penerbitan ini merupakan sebahagian daripada usaha pendokumentasian Balai Seni Negara, yang dihasilkan sebagai sumber rujukan untuk generasi kini dan akan datang.

Selain itu, Balai Seni Negara turut bekerjasama dalam penerbitan buku Chung Chen Sun: Seventy Years of Art, yang diterbitkan sempena ulang tahun kelahiran ke-90 mendiang, sebagai tanda penghormatan terhadap pengaruh dan warisan seni Chung Chen Sun.
Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun bukan sekadar menelusuri perjalanan seni seorang tokoh, tetapi turut menghubungkan seni, pendidikan dan budaya dalam ruang pengalaman yang penuh makna. Para pengunjung berpeluang menyelami warisan seni dan pemikiran intelektual beliau melalui naratif serta pendekatan pameran yang menyeluruh.
Orang ramai dijemput untuk mengunjungi dan menghayati pameran ini yang berlangsung sehingga 1 September 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.
