Photo 2 (2)

Kuala Lumpur – Berjaya Corporation Berhad (BCorp) meneruskan komitmen jangka panjangnya dalam menyokong rawatan hemodialisis mampu milik di Malaysia dengan menyumbang lima (5) unit mesin hemodialisis baharu kepada Pusat Hemodialisis Ampang Kau Ong Yah. Sumbangan ini dibuat sebagai respon kepada keperluan mendesak pusat tersebut untuk menggantikan mesin lama yang sudah usang, demi memastikan rawatan pesakit tidak terganggu.

Majlis penyerahan sumbangan ini disempurnakan oleh Pengasas dan Penasihat BCorp, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun, bersama Presiden Yayasan Ampang Kau Ong Yah Selangor dan Kuala Lumpur, Wong Kin Tack.

Sejak tahun 2019, BCorp telah menyumbang sembilan unit mesin dialisis kepada pusat ini. Sebanyak empat unit pada tahun sebelum ini dan lima unit terkini bernilai RM215,000. Di samping itu, BCorp turut menyumbangkan RM100,000 sebagai bantuan kewangan untuk kerja-kerja penggantian bumbung pusat tersebut. Secara keseluruhan, jumlah sumbangan BCorp kini mencecah RM481,000.

Sokongan berterusan ini membolehkan pusat hemodialisis tersebut meningkatkan kapasiti rawatan daripada 10 mesin kepada 20 mesin yang kini mampu memberi rawatan kepada 73 pesakit. Caj rawatan dikekalkan pada kadar RM110 setiap sesi sejak awal penubuhan, hasil subsidi daripada Yayasan, dan telah membolehkan hampir 460 pesakit mendapatkan rawatan penting yang mungkin sukar diakses tanpa bantuan kewangan ini.

Menurut Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan, amalan memberi kembali kepada masyarakat sentiasa menjadi teras kepada nilai-nilai Berjaya Corporation.

“Sokongan kami kepada Pusat Hemodialisis Ampang Kau Ong Yah mencerminkan komitmen kami untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada rawatan berkualiti pada harga mampu milik.

“Kami berharap sumbangan ini dapat menggalakkan pihak lain turut serta dalam membina masyarakat yang lebih sihat dan penyayang” katanya.

Semasa lawatan tersebut, Tan Sri Vincent Tan dan kakitangan BCorp turut mengedarkan pek makanan berkhasiat kepada pesakit dan kakitangan sebagai tanda sokongan dan dorongan. Mereka juga meluangkan masa untuk memahami secara langsung proses rawatan, cabaran yang dihadapi pesakit buah pinggang, serta keperluan operasi pusat rawatan tersebut.

Yayasan Ampang Kau Ong Yah menyampaikan penghargaan mereka kepada Tan Sri Vincent Tan dan BCorp atas komitmen berterusan dalam meningkatkan kebajikan masyarakat serta memperluas akses kepada penjagaan kesihatan untuk golongan rentan.

Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, BCorp kekal komited dalam menyokong kesejahteraan komuniti selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), khususnya matlamat untuk memastikan kehidupan sihat dan kesejahteraan untuk semua.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading