1

Subang Jaya – Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini meraikan pencapaian belia berinspirasi serta menghargai sumbangan rakan strategik dalam usaha membina masa depan anak muda Malaysia.

Acara tahunan bertemakan Hari Anugerah Pasukan 2025 ini dianjurkan dengan kerjasama King’s Trust International (KTI), bertujuan mengiktiraf lima individu yang telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam aspek pembangunan peribadi, kerjaya dan khidmat kepada komuniti.

Pengiktirafan kepada Juara Komuniti

DYTM Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan Anugerah Kelestarian Serantau Asia 2024 kepada Nurul Naqibah Mohd Kamal, 30, seorang alumni Program Pasukan Malaysia Kohort 16.

Naqibah, yang juga seorang eksekutif sumber manusia, menerima pengiktirafan tersebut atas dedikasi beliau dalam memperjuangkan akses pendidikan dan pembangunan komuniti untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan Anugerah Kepercayaan Raja 2024 Kelestarian Serantau Antarabangsa 2024 untuk Asia kepada Alumni Program Pasukan Malaysia Kohort 16 Nurul Naqibah Mohd Kamal.

“Saya mahu mereka memperoleh akses pendidikan yang setara.

Walaupun perjalanan ke penempatan mengambil masa dua hingga tiga jam, saya tetap komited untuk membantu,” katanya.

Pengalamannya bersama komuniti luar bandar telah membentuk kesedaran mendalam tentang ketidaksamarataan pendidikan dan menjadi dorongan untuk terus menyumbang secara aktif dalam memperkasa anak-anak Orang Asli.

Semenatara itu, seorang lagi tokoh muda, Syafie, 22 tahun, turut menerima pengiktirafan setelah bangkit dari kehidupan penuh cabaran. Pernah menjalani rawatan pemulihan di Pusat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sungai Besi, Syafie menyifatkan penyertaannya dalam Program Pasukan Malaysia sebagai titik permulaan perubahan dalam hidupnya.

Syafie berkongsi pengalaman kejayaan menyertai Program Pasukan Malaysia.

“Pada awalnya saya tidak sangka akan menyertai program ini, tetapi latihan membina keyakinan dan semangat berpasukan benar-benar membantu saya bangkit semula,” katanya, yang kini mengusahakan perniagaan gunting rambut sendiri.

Anugerah ini turut disampaikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah, sebagai sokongan moral terhadap semangat beliau mengubah haluan hidup ke arah lebih positif.

Program Pasukan Malaysia Bina Asas Kepimpinan Belia

Program Pasukan Malaysia merupakan sebuah inisiatif selama sembilan minggu yang memberi latihan intensif dalam kemahiran komunikasi, kepimpinan, keyakinan diri, serta kolaborasi komuniti. Program ini turut membuka laluan kepada pendidikan lanjutan, peluang pekerjaan serta keusahawanan, khususnya dalam kalangan belia dari latar belakang yang mencabar.

Turut hadir dalam majlis ini ialah EXCO Belia Selangor, YB Mohd Najwan Halimi, yang menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap program-program pembangunan belia berimpak tinggi seperti ini.

Hari Anugerah Pasukan 2025 membuktikan komitmen kolektif antara kerajaan, sektor korporat dan organisasi masyarakat sivil dalam melahirkan generasi belia yang inklusif, berdaya tahan dan kompetitif, bukan sahaja di Selangor, tetapi di seluruh Malaysia.

Melalui program seperti ini, SAY dan KTI terus memainkan peranan penting dalam membina ekosistem pembangunan belia yang mampan dan menyeluruh, sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan pemimpin masa depan yang progresif dan bertanggungjawab.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading