Kuching – Usaha Sarawak dalam melindungi spesies orang utan Borneo (Pongo pygmaeus) menerima suntikan baharu apabila Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) diumumkan menerima peruntukan berjumlah USD479,463 atau kira-kira RM2 juta daripada Global Wildlife Program (GWP) Malaysia.
Peruntukan itu diumumkan sempena sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
Menurut Len Talif, dana berkenaan akan digunakan bagi memperkukuh kawalan sempadan, melindungi habitat serta merangka strategi pemuliharaan yang lebih inklusif bersama komuniti tempatan.
“Peruntukan ini membuktikan komitmen jangka panjang Sarawak dalam melindungi orang utan Borneo serta mengekalkan biodiversiti negeri. Antara fokus utama ialah memperluaskan fasiliti dan meningkatkan keselamatan pengunjung di pusat pemuliharaan,” katanya.

Kerajaan Sarawak mensasarkan lebih sejuta hektar tanah diwartakan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya (TPA). Setakat ini, seluas 234,335 hektar telah diwartakan khas untuk pemuliharaan orang utan, iaitu hampir suku daripada sasaran.
Antara kawasan pemuliharaan utama ialah Lanjak Entimau Wildlife Sanctuary & Extension, Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Sedilu, Taman Negara Ulu Sebuyau dan Taman Negara Gunung Lesong. Kawasan ini menempatkan kira-kira 2,000 ekor orang utan liar, dengan 95 peratus daripadanya berada di Lanjak Entimau dan Batang Ai.
Pusat Hidupan Liar Semenggoh kini menempatkan 28 ekor orang utan, manakala Pusat Hidupan Liar Matang menempatkan 20 ekor, menjadikan keseluruhan 48 ekor di bawah pengurusan SFC.
Sejak 2007, sebanyak lima ekor anak orang utan berjaya dilepaskan semula ke habitat liar.
Simbol Warisan Alam Sarawak
Len Talif menegaskan, orang utan merupakan simbol warisan semula jadi Sarawak dan kelangsungan hidup spesies itu bergantung kepada kerjasama menyeluruh melibatkan dasar kerajaan, penyelidikan saintifik serta dedikasi masyarakat setempat.
“Usaha pemuliharaan bukan sahaja penting untuk ekologi, tetapi juga untuk identiti dan masa depan generasi akan datang,” ujarnya.
GWP merupakan inisiatif kerjasama antarabangsa yang menyokong negara dalam menangani cabaran pemerdagangan hidupan liar haram, konflik manusia dengan haiwan liar serta risiko penyakit zoonotik. Program ini dibiayai Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) dan diterajui oleh Bank Dunia.
