KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad menerusi jenama SAJI memperkenalkan muzik video raya terbaharu bertajuk “Menyala Lagi Raya” sebagai usaha menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan elemen keceriaan dan nilai kekeluargaan.
Pelancaran muzik video tersebut berlangsung pada 11 Mac lalu di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Pengarah Besar FELDA, Suzana Idayu Wati Osman.
Kempen “Menyala Lagi Raya” diperkenalkan sempena Ramadan dan Syawal, dengan matlamat mengangkat semangat kebersamaan, tradisi serta kegembiraan dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Menurut Ketua Produk Pengguna FGV, Aznur Kama Azmir, muzik video ini menjadi kemuncak kepada kempen tersebut dengan mesej bahawa semangat Aidilfitri kekal utuh walaupun peredaran zaman.

Muzik video berdurasi kira-kira tiga minit itu menampilkan barisan artis terkenal seperti Awie, Vanidah Imran, Nadia Aqilah dan Anas Ridzuan, selain penampilan khas beberapa selebriti lain.
Selain pelancaran video muzik, kempen ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk penganjuran peraduan “SAJI Beli & Menang” yang menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM50,000, termasuk pakej Umrah hasil kerjasama dengan FELDA Travel.
Dalam usaha mendekati golongan muda, cabaran tarian “Menyala Lagi Raya” juga dianjurkan menerusi platform media sosial seperti TikTok dan Instagram bagi menggalakkan penyertaan orang ramai.

FGV turut menegaskan bahawa kempen ini mencerminkan komitmen syarikat untuk terus dekat dengan masyarakat serta menjadi sebahagian daripada detik bermakna rakyat Malaysia sepanjang Ramadan dan Aidilfitri. Malah, SAJI dilihat bukan sekadar jenama keperluan dapur, tetapi juga rakan yang menyatukan keluarga, khususnya ketika musim perayaan.
