Putrajaya – Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), dengan kerjasama cabang komuniti Parenthood Media iaitu KitaParents, telah berjaya menganjurkan acara “Sip & Share”, satu siri perbincangan santai ala kafe yang direka untuk menggalakkan perbualan terbuka mengenai kesihatan wanita.
Sesi sulung bertemakan “Perimenopause Unfiltered” telah berlangsung pada hari Selasa, 17 Mac 2026 di Cyberjaya. Acara ini menandakan pelancaran rasmi inisiatif PHKL bagi tahun 2026, “What Women Want (For Health)”, yang meletakkan PHKL sebagai hospital kuaternari di Malaysia yang menyediakan ruang sokongan, di mana wanita boleh terlibat dalam perbualan yang selamat, jujur dan telus mengenai perjalanan kesihatan mereka.
Memberi Kesedaran Mengenai Perimenopaus
Bagi ramai wanita Malaysia, perimenopaus telah lama menjadi fasa kehidupan yang sering disalah fahami, dan kerap dianggap sebagai “sekadar stres” atau tanda penuaan. Melalui inisiatif ini, PHKL merapatkan jurang antara kepakaran perubatan dan pengalaman harian wanita dalam komuniti.

Sesi pada malam tersebut menampilkan Dr Premitha Damodaran, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Pantai Hospital Kuala Lumpur serta Ahli Lembaga International Menopause Society (IMS), yang mengetuai sesi interaktif, membolehkan para peserta mendapatkan panduan profesional mengenai simptom yang sering dialami secara senyap.
“Wanita hari ini memikul pelbagai peranan sebagai ibu, profesional dan penjaga, selalunya mengorbankan kesejahteraan fisiologi mereka sendiri,” kata Teresa Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Parenthood Media. “Dengan membawa Dr Premitha keluar dari persekitaran klinikal ke suasana kafe, kami menjadikan pengetahuan kesihatan penting lebih mudah diakses dan berasaskan komuniti.”
Mengulas kepentingan sesi tersebut, Dr Premitha berkata:
“Sebagai pakar yang telah lama memperjuangkan kesedaran tentang menopaus, saya sering melihat wanita di klinik saya melalui perimenopaus dalam keadaan terasing kerana mereka tidak menyedari simptom tersebut adalah sebahagian daripada perubahan hormon yang lebih besar. Dengan meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap perubahan ini lebih awal, wanita boleh kembali mengawal kesejahteraan mereka. Memahami bahawa anda tidak perlu menderita dalam diam adalah langkah pertama untuk menjalani kehidupan dengan yakin dan penuh ketenangan.”

Dialog Berasaskan Komuniti dan Perkongsian Pengalaman
Perhimpunan ini dihadiri oleh sekumpulan ibu daripada komuniti Parenthood dan KitaParents. Para peserta berinteraksi menggunakan kad soalan perbincangan seperti “Satu perkara yang saya anggap sebagai stres… tetapi kini saya tidak begitu pasti” dan “Simptom yang saya cari di Google pada jam 2 pagi tetapi tidak berani bertanya kepada sesiapa” bagi mencetuskan dialog yang autentik dan dekat dengan wanita Malaysia moden.
Bagi memastikan suasana “zon selamat”, acara ini turut menampilkan sesi Soal Jawab Langsung di mana para ibu boleh mengemukakan soalan secara anonim, yang kemudiannya dijawab secara neutral oleh Dr Premitha untuk memastikan setiap peserta berasa didengari tanpa sebarang penilaian.

Acara diakhiri dengan sesi berbuka puasa dan ramah mesra, menyediakan ruang untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan komuniti sambil menikmati jamuan ringan.

Perimenopaus merupakan satu fasa peralihan yang penting, dan tiada wanita seharusnya melaluinya secara bersendirian. Jika anda mengalami simptom yang menjejaskan kualiti hidup atau sekadar memerlukan sokongan dalam fasa ini, jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan. Para ibu digalakkan untuk berjumpa pakar, seperti pakar di Pantai Hospital Kuala Lumpur, bagi membincangkan kebimbangan kesihatan mereka dan mendapatkan pelan pengurusan yang sesuai.
