1

SEPANG Penyanyi lagu raya kontroversi ‘Kelepuk Raya’, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu berhubung empat kes memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri hampir tiga tahun lalu.

Mengikut empat pertuduhan, Aliff Syukri didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram ‘aliffsyukriterlajaklaris’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dikesan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada 24 April tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Faten Hadni Khairuddin.

Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang berunsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat, sebaliknya menerima cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi lima minit 23 saat itu dianggap netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki berkenaan.

Bukan itu sahaja, ada pihak menyifatkan tarian dalam video muzik tersebut sebagai usaha halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading