EMPIRE_2810

Kuala Lumpur – Industri perfileman tanah air bakal mencatat sejarah baharu dengan kemunculan filem Kaiju pertama Malaysia berjudul Abu Si Raksasa, sebuah karya bergenre sains fiksyen bercampur fantasi raksasa yang mengetengahkan kisah cicak salamander kecil berubah menjadi makhluk gergasi akibat pencemaran alam sekitar.

Jika sebelum ini masyarakat hanya mengenali watak raksasa popular Jepun seperti Godzilla dan Ultraman, kini giliran Malaysia memperkenalkan versi tempatan yang bukan sekadar hiburan semata-mata, malah membawa mesej kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekitar.

Idea Dari Perbincangan Akademik

Penerbit filem, Zamin Fakry, mendedahkan bahawa ilham Abu Si Raksasa tercetus hasil perbincangan bersama pakar alam sekitar, Profesor Dr Hezri Adnan.

“Kami mahu gabungkan elemen hiburan dengan mesej alam sekitar yang dekat dengan kehidupan seharian rakyat. Dari situlah lahirnya kisah cicak salamander bernama Abu ini,” jelas Zamin.

Plot Kisah Cicak Jadi Raksasa

Filem ini mengisahkan Zaara, seorang gadis yang memelihara cicak salamander bernama Abu. Namun segalanya berubah apabila Abu terlepas ke sebuah empangan yang tercemar dengan bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID, lalu mengalami mutasi menjadi makhluk gergasi.

Walaupun dianggap ancaman oleh pihak berkuasa yang diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad, Zaara bersama dua rakannya, Sofiyan dan Zidan, tetap berusaha mempertahankan Abu kerana menganggapnya sebahagian daripada keluarga.

Konflik kasih sayang, kesetiaan serta dilema keselamatan negara menjadi nadi utama penceritaan.

Kos RM2 Juta, Bernini Bertaruh Dengan CGI

Dengan kos produksi sekitar RM2 juta, termasuk untuk kesan khas CGI dan VFX, filem ini dilihat berani mencabar kemampuan industri tempatan.

Menurut Zamin, produksi M Toons Media turut menerima sokongan dana daripada Kementerian Komunikasi dan FINAS, sekali gus membuktikan keyakinan bahawa anak seni Malaysia mampu melangkah setanding produksi antarabangsa walaupun dengan bajet terhad.

Pengarah filem merangkap penulis skrip, Ramdan Che Hassan, mengakui hampir 40 peratus jalan cerita bergantung pada CGI.

“Kami perlu buat kajian mendalam kerana cicak salamander ini haiwan unik dan sesuai dijadikan simbol kepada mesej filem. Ia bukan haiwan ganas, malah boleh dijadikan peliharaan,” katanya.

Lokasi penggambaran turut dilaksanakan di sekitar Lembah Klang termasuk Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya, bagi memberikan sentuhan tempatan yang lebih realistik.

Barisan Pelakon Popular Jadi Tarikan

Filem ini menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya:

Sophia Al-Barakbah sebagai Zaara

Jaa Suzuran sebagai Sofiyan

Zalif Sidek sebagai Zidan

Afieq Shazwan sebagai Kapten Fayyad

Azhar Sulaiman sebagai Zarmand

Maria Farida sebagai Fathiya

Turut sama menjayakan filem ini ialah Adam Shahz, Samarinna Tolhip, Farid Amirul Hisham, Azri Iskandar, Along Eyzendy dan Daddy Rock, selain kemunculan khas Dato Rizal Mansor, Ayahanda Rani Kulop, Mustaqim Bahadon serta Kamarool Hj Yusof.

Tayangan Bermula 11 September

Abu Si Raksasa dijadual menemui penonton di seluruh pawagam negara pada 11 September 2025. Filem ini bukan sahaja dijangka menjadi buah tangan paling unik tahun ini, malah membuka lembaran baharu industri filem Malaysia dalam genre sains fiksyen bertaraf Kaiju.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading