KUALA LUMPUR – Aplikasi e-dagang tempatan dikenali sebagai MOVA, mengumumkan kerjasama strategik bersama platform e-dagang terkemuka, Lazada, bagi memperkukuh kelebihan perkhidmatannya kepada pengguna di Malaysia.
Kerjasama itu menyaksikan integrasi sistem MOVA dengan ekosistem Lazada, yang membolehkan pengguna aplikasi MOVA menikmati pulangan tunai eksklusif apabila membuat pembelian di Lazada.
Ketua Pegawai Operasi MOVA Asia Tenggara, Firman Chen, berkata inisiatif ini bakal dilaksanakan secara rasmi hujung bulan ini atau selewat-lewatnya awal Oktober depan, sebaik sahaja sistem berfungsi sepenuhnya.

Jelasnya, kerjasama ini amat penting mengukuhkan ekosistem digital kami agar pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.
“Dengan terbentuknya kerjasama ini, ia dapat menarik pengguna baharu melalui strategi pulangan tunai dan penglibatan komuniti.
“Pengguna bukan sahaja boleh berbelanja, namun mampu menjana pendapatan sampingan melalui pembelian yang dilakukan” katanya pada sidang media di ibu pejabat MOVA di sini, semalam.
Beliau menegaskan, pengalaman membeli-belah hari ini tidak lagi sekadar transaksi semata-mata, sebaliknya pengguna menuntut nilai tambah.
“Dengan pulangan tunai konsisten menerusi Lazada melalui MOVA, ia menjadikan pengalaman membeli lebih bernilai dan bijak,” tambahnya.
Setakat ini, MOVA mempunyai lebih 80,000 ahli aktif di Malaysia, dengan sasaran mencecah 200,000 ahli menjelang hujung tahun.

“Purata transaksi harian kami kini berada pada 50,000 hingga 80,000 transaksi sehari. Angka ini terus meningkat seiring pertambahan ahli dan kerjasama strategik seperti bersama Lazada ini,” jelas Firman.
Tampil Jawab Isu Integriti
Dalam pada itu, Firman turut menegaskan MOVA serius menangani persepsi negatif susulan isu viral sebelum ini, sekali gus memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa syarikat beroperasi secara telus.
“Kami mematuhi undang-undang dan memastikan tiada amalan perniagaan yang melanggar peraturan. MOVA juga mempertingkat komunikasi dengan pengguna melalui pendidikan serta sokongan berterusan, agar mereka yakin bahawa MOVA ialah platform selamat, sah dan memberi manfaat sebenar,” katanya.
Beliau turut menambah, pihaknya akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap kandungan yang menghina serta menyiarkan maklumat palsu mengenai MOVA.
“Kami sudah memberi tempoh 14 hari kepada mereka yang pernah memuat naik video fitnah untuk memadam kandungan tersebut,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Firman menegaskan bahawa MOVA tidak akan berkompromi dengan sebarang dakwaan terlibat dalam aktiviti ‘money game’ atau skim cepat kaya.
“Kami sedia disiasat dan diaudit sebagai bukti komitmen tinggi menjalankan perniagaan secara telus. Malah, pengurusan tertinggi MOVA akan mengadakan pertemuan kali ketiga bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam masa terdekat bagi memperincikan kesahihan bahawa MOVA tidak terbabit dengan konsep pelan pemasaran berbilang tingkat (MLM),” katanya.
