Kuala Lumpur – Syarikat agensi pelancongan umrah dan haji, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd (Glocal Travel) melangkah ke fasa baharu apabila melancarkan peringkat pra-francais sebagai strategi memperkukuh serta mentransformasikan industri pengurusan jemaah di Malaysia.
Inisiatif ini merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan model francais penuh yang lebih tersusun dan telus, sekali gus dijangka mampu menangani pelbagai isu yang sering membelenggu industri, termasuk ketirisan dan penipuan terhadap jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Md Idzham Isa berkata, pelaksanaan model francais akan memperkenalkan sistem operasi yang lebih sistematik, melibatkan penyeragaman prosedur operasi standard (SOP), latihan serta tadbir urus di bawah rangka kerja yang dilindungi undang-undang.
Menurut beliau, syarikat kini berada di peringkat akhir mendapatkan kelulusan lesen francais daripada kementerian berkaitan sebelum pelancaran rasmi dijangka berlangsung dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Pelancaran fasa pra-francais ini turut menandakan kejayaan Glocal Travel menamatkan penyertaan dalam Program Pernas Xcelerator, sebuah inisiatif oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang membimbing syarikat tempatan berpotensi tinggi ke arah model perniagaan francais.
Melalui program tersebut, syarikat telah menjalani proses penstrukturan semula meliputi pembangunan SOP, sistem latihan, pengukuhan tadbir urus serta pemantapan model perniagaan sebagai persediaan untuk pengembangan berskala nasional.
Pengerusi Pernas, Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli berkata, kerjasama ini mencerminkan usaha memperluas ekosistem francais negara melangkaui sektor makanan dan minuman kepada industri perkhidmatan profesional seperti pelancongan Islam.
Kajian industri mendapati antara masalah utama yang sering dihadapi jemaah termasuk kegagalan mendapatkan penginapan hotel dan tiket penerbangan, berpunca daripada pengurusan yang tidak cekap.
Sehubungan itu, model francais yang diperkenalkan bakal membolehkan setiap pengusaha menggunakan sistem dan kekuatan jenama yang sama, sekali gus memastikan kualiti perkhidmatan yang konsisten serta mengurangkan risiko kegagalan pengurusan.
Sasar 50 Cawangan Francais
Dalam pelan pengembangannya, Glocal Travel menyasarkan pembukaan sebanyak 50 cawangan francais di seluruh negara dalam tempoh tahun pertama selepas pelancaran rasmi.

Selain itu, syarikat juga merancang memperkenalkan pakej baharu termasuk pakej premium dan pelancongan Muslim, di samping memperkukuh platform digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Bagi musim haji tahun ini, Glocal Travel mencatatkan peningkatan jumlah jemaah kepada 150 orang berbanding 78 orang pada tahun sebelumnya.
Kumpulan pertama jemaah haji syarikat itu dijadualkan berlepas pada 1 Mei, melibatkan lima penerbangan keseluruhannya.
Langkah memperkenalkan model francais ini dilihat sebagai satu pendekatan strategik dalam membina ekosistem industri umrah dan haji yang lebih mampan, profesional dan diyakini.
Dengan pengalaman menguruskan ribuan jemaah serta jaringan kerjasama di Mekah dan Madinah, Glocal Travel berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai peneraju baharu dalam industri pelancongan Islam di Malaysia.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib.
