Petaling Jaya – Festival Raya paling berpengaruh di Malaysia, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABxFGR) bakal kembali dengan penganjuran lebih hebat dan berskala antarabangsa pada tahun 2026, meneruskan legasi cemerlang selama empat tahun berturut-turut sebagai acara gaya hidup dan membeli-belah terbesar musim perayaan di negara ini.
Diiktiraf dalam Malaysia Book of Records selama dua tahun berturut-turut sebagai Festival Raya Terbesar di Malaysia, ABxFGR 2026 bakal diperluaskan ke tiga lokasi baharu Pulau Pinang, Brunei Darussalam dan buat pertama kalinya, London, United Kingdom.
Festival ini dianjurkan bersama oleh My Events International dan Absolut Events & Management, dua nama besar dalam penganjuran acara berskala mega.

Perluasan Global: Tembusi Pasaran Eropah dan ASEAN
Edisi antarabangsa ABxFGR akan bermula di Bridex International Convention Centre, Brunei Darussalam dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026, diikuti dengan edisi Pulau Pinang di PICCA Convention Centre dari 6 hingga 8 Mac 2026, sebelum kembali ke lokasi ikonik di ibu negara MITEC, Kuala Lumpur dari 13 hingga 16 Mac 2026.
Paling dinantikan, edisi sulung Absolut Bazaar x MYExpo akan dilangsungkan di Exhibition White City, London dari 2 hingga 3 Mei 2026 memperkenalkan jenama tempatan ke pasaran global dan membuka peluang kerjasama strategik rentas sempadan.
Menurut Pengarah Urusan Absolut Events & Management, Nur Ali Nadzwan, ekspo di London nanti bukan sahaja sekadar membuka peluang jual beli namun lebih kepada mengangkat produk dan jenama Malaysia ke peringkat global.
“Kami akan bekerjasama dengan MATRADE bagi melakukan pemilihan perniagaan dari segi produk, jenama dan jenis yang sesuai untuk dibawa ke London, ianya nanti bukan sekadar pameran, tetapi platform B2B eksklusif yang mempertemukan usahawan Malaysia dengan pengedar, pembeli dan pelabur antarabangsa.
“Manakala, kerjasama dengan MOTAC pula untuk mengetengahkan elemen budaya dan kesenian Malaysia untuk dipromosikan disana” katanya dalam sidang media.

Tidak seperti ABxFGR yang lebih tertumpu kepada pengunjung musim perayaan, Absolut Bazaar x MYExpo di London direka khusus untuk memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menembusi pasaran antarabangsa, khususnya dalam sektor halal, fesyen, makanan dan gaya hidup.
Inisiatif ini turut menyokong kempen Visit Malaysia Year 2026, dengan mempamerkan kekayaan budaya tempatan, produk halal, pengalaman kulinari unik serta tarikan pelancongan kepada khalayak antarabangsa.
Rekod Pencapaian Cemerlang Sejak Diperkenalkan
Sejak penganjuran pertamanya, ABxFGR telah mencipta pelbagai pencapaian luar biasa, menjadikannya festival gaya hidup Raya paling berprestij di rantau ini.
Dengan rekod jualan keseluruhan mencapai RM62.6 juta sepanjang empat tahun, acara ini turut mencatat kehadiran pengunjung tertinggi seramai 7.95 juta orang dengan penglibatan seramai 2,000 usahawan dan 400 jenama tempatan.

“Untuk ekspo di MITEC dan Pulau Pinang sebanyak 750 buah booth ditawarkan dan 90% daripadanya telahpun berjaya ditempah oleh para usahawan sejak awal tahun, manakala bagi ekspo di Brunei dan London masih berjalan hingga kini dan menunjukkan sambutan luar biasa dari para usahawan.
“Ini menunjukkan rekod baik dari ekspo sebelum ini meyakinkan usahawan, jenama malah kepercayaan pengunjung untuk terus menyokong kami” kata Pengarah Pembangunan Perniagaan My Events International Dailan Muhammad Ravi.
ABxFGR bukan sekadar platform membeli-belah, tetapi menjadi medan penting menjana impak ekonomi kepada usahawan tempatan, khususnya PKS, dengan membuka ruang kepada peluasan eksport dan penembusan pasaran luar.
