IMG_20250924_125144

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi jenama telefon pintar pertama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MyDigital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) bagi menyokong inisiatif kerajaan memperluaskan penggunaan identiti digital di negara ini.

Melalui kerjasama ini, aplikasi MyDigital ID akan dipasang terus (pre-install) pada telefon pintar baharu HONOR, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia mengakses perkhidmatan pengesahan digital dengan lebih mudah dan pantas tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan. Inisiatif ini seiring dengan agenda transformasi digital negara yang menyasarkan 15 juta rakyat mendaftar dalam sistem MyDigital ID menjelang akhir tahun ini.

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Presiden HONOR South Pacific, Justin Li dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim.

“Dengan memasukkan aplikasi MyDigital ID secara terus dalam telefon pintar HONOR, kami memudahkan proses pendaftaran dan membolehkan lebih ramai rakyat mengakses aplikasi penting kerajaan serta perkhidmatan swasta tanpa perlu melalui proses rumit.

“HONOR berbangga menjadi jenama pertama menyokong inisiatif kerajaan Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk membina ekosistem kolaborasi terbuka yang memberi nilai kepada semua pihak,” kata Justin Li.

Presiden HONOR South Pacific, Justin Li (kiri) Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim selepas menandatangani MoU kerjasama.

Sementara itu, Nik Hisham menegaskan kerjasama ini membuktikan sinergi antara kerajaan dan industri mampu mempercepatkan penerimaan teknologi digital di Malaysia.

“Pengguna kini boleh menikmati akses identiti digital yang selamat sebaik sahaja membuka kotak peranti HONOR. Pada masa hadapan, kami berharap kerjasama ini diperluaskan ke peranti lain bagi menjadikan pengalaman menggunakan MyDigital ID lebih mudah dan menyeluruh. Inilah bukti apabila kerajaan dan industri bekerjasama, Malaysia akan terus berkembang maju,” ujarnya.

Kerjasama ini dimulakan dengan pelancaran rasmi HONOR X9d 5G hari ini, yang hadir dengan aplikasi MyDigital ID dipasang siap.

Melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh mendaftar dan menyimpan data biometrik secara terus dalam telefon pintar untuk mengakses perkhidmatan dengan lebih lancar, sekali gus mengurangkan risiko penipuan serta memastikan keselamatan maklumat peribadi.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading