KUALA LUMPUR – Delegasi misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang menaiki Kapal Conscience, termasuk sembilan rakyat Malaysia, kini telah memasuki zon kuning.
Salah seorang delegasi misi, Dr. Mohd Afandi Salleh, kapal tersebut kini bergerak perlahan sambil menunggu kapal layar lain untuk bersama-sama berlayar menuju ke perairan Gaza.
“Alhamdulillah sekarang ini dalam pelayaran ke Gaza dalam kapal Conscience, Freedom Flotila Coalition .
“Hari ini hari kelima kami berlayar daripada Itali menuju ke Gaza. Sekarang ni berada di Laut Mediterranean. Sudah memasuki Zon Kuning,” katanya dalam satu kenyataan video.
Menurutnya, kapal yang bergerak dengan kelajuan perlahan itu turut membawa ubat-ubatan untuk 20 orang doktor bagi kegunaan rakyat Palestin.
“Insya-Allah kalau tiada aral melintang, dalam tempoh tiga atau empat hari kami akan sampai.
“Kelajuan kami amat perlahan kerana kami menunggu kapal-kalap layat di belakang sana dan membawa ubat-ubatan dan 20 orang doktor dan peralatan.
Dr Mohd Afandi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat (MPP) PKR menegaskan bahawa misi ini bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, tetapi juga untuk menunjukkan komitmen terhadap keadilan sejagat seperti yang dinyatakan dalam perlembangaan PKR.
“Ini satu misi yang cuba menunjukkan tugas prinsip keadilan kita berasarkan kepada prinsip Perlembangaan parti perkara 5.18 yang menyentuh secara langsung bahawa keadilan harus ditegakkan, penindasan harus diakhiri dan penindasan yang berlaku di Gaza.
“Ia juga adalah tanggungjawab bersama kita sebagai parti yang berteraskan kepada perjuangan ini tidak harus hanya berada di dalam negara, tapi melampaui sempadan,” katanya.
Untuk rekod, kapal Conscience turut membawa 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.
Lapan wakil Malaysia dalam kapal yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September ialah Ketua Delegasi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; tiga doktor Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi doktor Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
