xr:d:DAFByURpAcE:25810,j:947302314643520388,t:24030307
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan terdapat cadangan untuk memperkenalkan struktur akaun baharu bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila ahli mencapai umur persaraan minimum.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ia akan terpakai kepada ahli baharu selepas tarikh pelaksanaannya.
Bagaimanapun katanya, sekiranya ada ahli sedia ada mahu melaksanakannya, ia boleh dilakukan.
“Secara asasnya, mekanisme struktur akaun ini terbahagi kepada dua komponen iaitu simpanan fleksibel yang membolehkan (simpanan) dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut kehendak ahli.
“Kedua adalah simpanan pendapatan yang diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis.
“Bagaimanapun, cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai cadangan untuk meneliti semula kaedah pengeluaran simpanan ahli KWSP seperti yang pernah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Dalam masa sama, Hui Ying turut menyatakan pada masa ini tidak ada perubahan polisi ke atas skim KWSP semasa.
“Pilihan pengeluaran simpanan KWSP pada umur 55 dan 60 tahun kekal sama. Pada masa kini, ahli mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan simpanan mereka secara sekali gus, sebahagian atau melalui bayaran berkala,” katanya.
Dalam pada itu katanya, setakat 31 Ogos lalu, jumlah keseluruhan ahli KWSP adalah seramai 16.5 juta orang, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.31 trilion.
Menurutnya, jumlah itu meningkat 9.9 peratus berbanding RM1.20 trilion pada tahun 2024 dan 20.8 peratus berbanding RM1.01 trilion pada tahun 2023.
