MEITU_20251011_112824503

Bangi – Daripada mengendalikan kes jutaan ringgit di meja rundingan, kini beliau menguruskan rasa dan rempah di dapur restoran. Itulah transformasi berani Dato’ Hifdzi Hamzah, bekas peguam korporat berpengalaman lebih 20 tahun, yang kini bergelar pengasas kepada jenama fastfood tempatan, MyBaik.

Jenama ini bukan sekadar perniagaan makanan segera ia simbol keyakinan bahawa rakyat Malaysia mampu melahirkan jenama sendiri yang membanggakan, 100% lokal dan Muslim.

Pengasas MyBaik itu berkata segalanya bermula daripada satu pemerhatian kecil di Tanah Suci.

“Setiap kali ke Mekah, saya kagum bagaimana rakyat Arab begitu bangga dengan Al-Baik. Dari situ saya terfikir bila pula kita di Malaysia akan ada jenama yang boleh kita banggakan bersama”

Soalan itu akhirnya menjadi inspirasi kelahiran MyBaik satu jenama yang berteraskan rasa baik, layanan baik dan niat baik.

Rasa Lokal, Jiwa Nasional

Dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan chef tempatan, setiap hidangan MyBaik diracik dengan citarasa rakyat Malaysia pedasnya cukup, rangupnya puas, dan sosnya “kena di tekak”.

“MyBaik bukan tiruan mana-mana francais luar. Ia 100% lokal, 100% Muslim dan 100% Malaysia,” ujarnya penuh bangga.

Kombinasi menu seperti ayam goreng, burger dan piza menjadikan MyBaik restoran pertama di negara ini yang menggabungkan tiga sajian utama di bawah satu bumbung.


Paling menarik, set Family Platter MyBaik direka khas untuk keluarga moden satu hidangan besar untuk semua selera di satu meja.

Daripada Impian ke Realiti

Dalam tempoh tiga bulan pertama beroperasi, MyBaik di Bandar Seri Putra sudah mencuri perhatian ramai. Pelanggan dari sekitar Bangi, Kajang dan Nilai memuji rasanya yang “unik tapi dekat di hati”, hasil gabungan rempah tradisi dan gaya moden.

Kejayaan awal ini menjadi batu loncatan untuk pembukaan cawangan kedua di Presint 15, Putrajaya, menjelang hujung tahun 2025.

MyBaik juga memperkenalkan model License-Partnership berasaskan prinsip Musyarakah, membolehkan rakyat Malaysia menjadi rakan niaga dengan modal serendah RM50,000 tanpa perlu menguruskan operasi harian.

Semua urusan dikendalikan oleh HQ melalui Akademi MyBaik, menjadikan ia peluang pelaburan yang mesra dan berpotensi tinggi.

“Kami bukan sekadar mahu orang makan sedap, tapi mahu ramai rakyat biasa jadi luar biasa melalui peluang ini,” jelas beliau.

Langkah ke Hadapan: 20 Cawangan Menjelang 2026

Menjelang 2026, MyBaik menyasarkan 20 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia, sebelum ke Sabah dan Sarawak. Setiap cawangan akan kekal dengan DNA asal lokal, moden dan membanggakan Malaysia.

“Kalau orang luar boleh bangga dengan jenama mereka, kenapa tidak kita? MyBaik ialah permulaan kepada sesuatu yang besar satu langkah kecil dengan rasa yang baik,” kata Dato’ Hifdzi mengakhiri sidang media.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading