KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa komuniti melalui penganjuran Pertandingan Akhir Mahir Masak Peringkat Kebangsaan “Cooking Star” bagi pengambilan pertama 2024/2025 yang berlangsung di IPTSkills TVET College, Mutiara Damansara, hari ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI di bawah teras Pembelajaran Sepanjang Hayat, bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang kemahiran serta membuka peluang peningkatan sosioekonomi kepada ahli NADI di seluruh negara.

Sebanyak 201 penyertaan diterima daripada pelbagai negeri dan selepas beberapa peringkat saringan, 10 finalis terbaik telah dipilih untuk mara ke pusingan akhir peringkat kebangsaan.
Majlis penyampaian hadiah dan penghargaan yang diadakan di Royale Chulan Damansara turut meraikan kejayaan beberapa alumni program NADI. Antaranya, Ahmad Salimie, peserta Mahir Masak yang meraih Pingat Gangsa dalam Culinary World Cup di Ipoh, Perak; serta alumni Mahir Foto yang menjuarai Malaysia Unity Short Film Festival.
Turut diraikan ialah alumni Mahir Pertanian Pintar seperti Jeffree Sharizal Abd Aziz dan Lee Xian Yu dari Pulau Tioman serta Puan Azizah Mohd Isa dari Kedah yang berjaya memperkasa perusahaan tani masing-masing melalui penggunaan teknologi digital dan peranti IoT, seiring aspirasi pendigitalan luar bandar.

Projek Baharu LOCCA dan RASSAR: Menjana Ekonomi Komuniti
Dalam majlis sama, NADI Mahir turut melancarkan dua projek baharu LOCCA (Uniform Sekolah Perempuan) dan RASSAR (Biskut Cookies). Melalui inisiatif ini, alumni program Mahir Jahit dan Mahir Masak dari seluruh negara diberi peluang menjana pendapatan melalui Bengkel NADI Jahit dan Bengkel NADI Masak yang dikendalikan di bawah program tersebut.
Projek ini bukan sekadar memperkukuh industri desa berasaskan kemahiran tempatan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti luar bandar. Ia juga membuktikan keberkesanan program Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam membuka ruang baharu untuk memperkasa masyarakat dan meningkatkan taraf hidup rakyat di peringkat akar umbi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dr. Mohd Arif bin Adenan, Ketua Pejabat NADI MCMC; Tan Sri Halim Shafie, Pengerusi Kumpulan Syarikat MSD Alliance; Haji Mohd Fuad Bin Romeli; Datuk Wan Roslee Wan Yusof; dan Encik Amrul Halim Gan Abdullah.
Turut hadir wakil Digital Utility Service Providers (DUSP) yang terdiri daripada TM Tech, Maxis, CelcomDigi dan RedTone, rakan-rakan Technology Partners (TP), pakar industri, serta alumni NADI dari seluruh negara.
