IMG-20251103-WA0025

Kuala Lumpur – Industri motosikal elektrik tempatan melangkah ke fasa baharu apabila GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. (GGR Motor) memperkenalkan dua prototype terbaharu — Pantera R1 dan Pantera R2, motosikal elektrik jarak jauh pertama hasil rekaan dan pemasangan tempatan dengan keupayaan perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh.

Pelancaran rasmi berlangsung sempena MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025) di Bukit Jalil, disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, bersama Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Turut hadir, Pengarah PMH Motor Sdn. Bhd., Mohd Izwan Mazlan, Rakan Strategik GGR Motor, Profesor Dr. Nizar Abd Jalil, serta rakan kongsi selebriti Johan dan Ajak Shiro.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, pelancaran Pantera R1 dan R2 menjadi simbol keupayaan anak Malaysia menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

“Matlamat kami adalah melahirkan motosikal elektrik pertama buatan Malaysia dengan jarak 300 kilometer bagi satu cas penuh. Ia akan menjadi penanda aras baharu untuk industri EV negara,” katanya.

Pantera R1 dan R2 dikuasakan oleh dua bateri 73.8V / 116Ah, dilengkapi sistem pengecasan pantas (fast charging) yang membolehkan satu bateri dicas penuh dalam hanya 30 minit.
Motorhub berkuasa 5,000kw dan Votol Controller pula memberi keupayaan kelajuan maksimum antara 110 hingga 150 kilometer sejam, dengan kos penyelenggaraan hampir sifar kerana tidak memerlukan minyak atau servis enjin seperti motosikal petrol.

Fokus Kepada Komuniti E-Hailing dan Usahawan Mikro

GGR Motor memberi tumpuan kepada rider e-hailing dan usahawan mikro sebagai kumpulan sasaran utama, selari dengan misi membantu rakyat menjimatkan kos operasi harian.

“Dengan beralih kepada motosikal elektrik, rider e-hailing boleh jimat sehingga 60 peratus daripada kos harian mereka. Ini bukan sekadar kenderaan, tetapi satu peluang ekonomi baharu,” ujar Musaddiq.

Pelancaran Dua Fasa dan Skim Pembiayaan Mudah

Bagi memastikan ekosistem EV lebih menyeluruh, GGR Motor akan melaksanakan pelancaran dalam dua fasa:

  1. Oktober–Disember 2025 – Pembinaan charging point dan swap station di kawasan strategik seluruh negara.
  2. Januari 2026 – Pembukaan pra-tempahan kepada komuniti e-hailing dan orang awam.

Selain itu, skim pembiayaan mudah dengan deposit rendah dan ansuran fleksibel turut disediakan bagi memudahkan pemilikan. Harga rasmi belum diumumkan kerana model masih dalam peringkat prototype, namun dijangka mampu milik dan setanding motosikal petrol kelas pertengahan.

GGR Motor kini membuka peluang kerjasama dengan syarikat korporat dan francais besar seperti 99 Speedmart, ZUS Coffee dan rangkaian stesen minyak utama bagi memperluas rangkaian swap station di seluruh Malaysia.

“Kami mahu membina ekosistem EV yang kukuh melalui kolaborasi strategik. Lagi banyak syarikat terlibat, lebih banyak stesen swap dapat diwujudkan. Ini bukan projek satu syarikat, tetapi usaha membina infrastruktur negara,” jelas Musaddiq.

Bagi menyokong pertumbuhan itu, GGR memperkenalkan model ‘Subscription Swap Station’, iaitu sistem langganan untuk pengusaha yang mahu membuka stesen pertukaran bateri di bawah jenama GGR Motor.
Melalui sistem ini, setiap pertukaran bateri dikenakan caj kecil dan pemilik premis menerima komisen tetap – membuka peluang pendapatan tambahan kepada pengusaha tempatan.

Dari Kejayaan Lion G1 ke Pantera

Sebelum ini, GGR Motor mencipta kejayaan besar dengan model Lion G1 yang mencatat lebih 8,000 unit terjual, membuktikan potensi besar pasaran motosikal elektrik di Malaysia.
Kini, Pantera R1 dan R2 menjadi kesinambungan kepada visi syarikat untuk memperkukuh kedudukan sebagai peneraju motosikal EV tempatan.

Bagi kemudahan selepas jualan, pengguna di Lembah Klang boleh mendapatkan alat ganti di supermarket rasmi GGR Motor di Sungai Penchala, Damansara, manakala PMH Motor di Alor Setar dilantik sebagai Master Dealer bagi wilayah Utara.

Dalam memperkukuh jenama, GGR turut bekerjasama dengan selebriti tempatan melalui GGR x Johan dan GGR x Farid Kamil, dan bakal melancarkan kolaborasi baharu bersama Ajak Shiro.

“Kali ini kami tidak menjual dahulu kerana ingin memastikan ekosistem infrastruktur lengkap sebelum penjualan bermula. Kami mahu pelancaran seterusnya dibuat bersama sistem charging yang sudah siap,” tegas Musaddiq.

Bermula tahun 2026, GGR akan membuka peluang kepada usahawan dan pengedar tempatan untuk menjadi rakan niaga rasmi motosikal EV GGR di seluruh Malaysia.
Langkah ini juga dilihat sebagai persediaan ke arah penembusan pasaran Asia Tenggara, dengan GGR menyasarkan Malaysia sebagai hab eksport utama kenderaan elektrik dua roda dalam tempoh jangka panjang.

Dengan pengenalan Pantera R1 dan R2, GGR Motor bukan sahaja memperkenalkan produk, tetapi turut membina asas kepada ekosistem mobiliti hijau yang mampan untuk negara.

“Kami mahu rakyat melihat EV bukan sekadar trend, tetapi keperluan masa depan. Pantera adalah langkah pertama ke arah menjadikan Malaysia hab motosikal elektrik serantau,” kata Musaddiq mengakhiri bicara.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading