KUALA LUMPUR – Empat syarikat di bawah Kumpulan Sumitomo di Malaysia tampil berganding bahu dengan Leave a Nest Malaysia bagi memperkukuh komitmen terhadap pembangunan belia dan pemeliharaan alam sekitar melalui pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kerjasama strategik ini yang julung kali diadakan antara keempat-empat entiti Sumitomo iaitu Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Berhad (SMBC Malaysia), Sumitomo Corporation Malaysia Sdn. Bhd., SMFL Leasing (Malaysia) Sdn. Bhd., dan MSIG Insurance (Malaysia) Bhd. menzahirkan komitmen jangka panjang kumpulan itu terhadap kemajuan masyarakat serta penjagaan alam sekitar sejak lebih 130 tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SMBC Malaysia, Atsuhide Shiojiri, berkata kolaborasi tersebut mencerminkan pentingnya penyatuan antara inisiatif korporat dan inovasi yang digerakkan oleh generasi muda bagi menangani isu alam sekitar secara mampan.
“Malaysia kini berdepan cabaran serius sebagai antara pengimport utama sisa plastik dunia. Sebahagian besar sisa ini tidak dapat diproses dengan baik, lalu mencemarkan sungai serta menyumbang kepada sisa marin dan kemerosotan alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa negara-negara maju seperti Jepun turut berkongsi tanggungjawab terhadap masalah pencemaran plastik di rantau ini, susulan peranan mereka sebagai pengeksport sisa plastik ke Asia Tenggara. Justeru, usaha kolektif antara kerajaan, korporat dan masyarakat amat diperlukan bagi melahirkan penyelesaian lestari yang menyeluruh.
Inovasi Belia di Science Castle Asia 2025
Inisiatif ini turut diserikan dengan penganjuran Science Castle Asia 2025, platform yang meraikan projek pelajar berasaskan sains dan inovasi lestari.
Tiga projek pelajar dari Malaysia menerima pengiktirafan atas idea berimpak tinggi sejajar dengan nilai teras Sumitomo dalam pembangunan mampan antaranya;
- PaddyGami oleh Maktab Tentera Diraja (MTD) — sistem penapisan dan pemantauan air berasaskan seni lipatan Kirigami.
- Pembungkus Makanan Boleh Urai dan Pulih Sendiri oleh Sekolah Menengah Sains Seri Puteri.
- Kertas Penapis Air Tiga Lapis Boleh Urai oleh Sekolah Antarabangsa Tzu Chi Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga projek tersebut mencerminkan semangat inovatif pelajar Malaysia dalam mencipta solusi lestari yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Sebagai lanjutan kepada kejayaan tersebut, pelajar-pelajar yang terpilih akan dijemput menyertai Bengkel Sains Kumpulan Sumitomo pada Januari 2026.
Bengkel ini akan menghimpunkan pelajar, saintis dan syarikat pemula (startup) dalam ekosistem Leave a Nest bagi membangunkan idea praktikal dalam menangani isu sisa sungai dan pencemaran lautan.
Kolaborasi ini bukan sekadar memperkukuh inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Sumitomo, malah memperlihatkan peranan aktif syarikat Jepun itu dalam membina masa depan lestari yang diterajui oleh generasi muda Malaysia.
