Subang Jaya – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) melalui Yayasan MBI dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), hari ini melancarkan Sambutan Hari Penjaja & Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025, sebuah inisiatif tahunan yang memberi tumpuan kepada pengukuhan peranan peniaga kecil sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negeri.
Acara yang berlangsung selama dua (2) hari ini menghimpunkan lebih 200 usahawan mikro dan kecil dari seluruh Selangor, melibatkan penyertaan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi kerajaan dan rakan strategik. Ia dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung, menjadikannya salah satu platform negeri terbesar yang memfokuskan pembangunan ekonomi komuniti.
Bertemakan “Penjaja & Peniaga Kecil Pemacu Ekonomi Digital Selangor”, penganjuran kali ini memberi penekanan terhadap peningkatan penggunaan teknologi, transaksi digital dan keupayaan peniaga kecil menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran semasa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, yang menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang mampan, inklusif dan sejajar dengan perkembangan ekonomi digital.
Sambutan ini turut menzahirkan pelaksanaan inisiatif keusahawanan yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2026, khususnya pelaksanaan AGROPLATS Biaya Plus-i, iaitu skim pembiayaan mikro tanpa faedah untuk usahawan kecil.
Di bawah belanjawan tersebut:
• Skim AGROPLATS Biaya Plus-i akan ditawarkan kepada 600 usahawan PLATS • Pembiayaan 0% kadar keuntungan
• Tempoh pembiayaan sehingga 7 tahun
• Jumlah pembiayaan sehingga RM10,000
Program dua hari ini turut menyediakan ruang kepada peniaga kecil untuk memasarkan produk, mendapatkan akses maklumat bantuan usahawan serta mengikuti aktiviti pembangunan kapasiti.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk:
• Pameran dan jualan usahawan digital
• Tayangan montaj Penjaja Digital Selangor
• Jualan Ehsan Rahmah
• Pertunjukan helikopter kawalan jauh
• Dapur PLATS bersama selebriti
• Pertandingan Chef Cilik
• Anugerah Penghargaan Penjaja Selangor 2025 oleh Yayasan MBI • Kolaborasi aktiviti bersama Universiti Putra Malaysia (UPM)
• Persembahan seni dan cabutan bertuah

Program ini juga berfungsi sebagai medium penyampaian maklumat mengenai skim bantuan, pembiayaan dan latihan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan negeri.
Yayasan MBI menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh strategi pemerkasaan penjaja dan peniaga kecil secara berterusan, termasuk melalui inisiatif digital, kolaborasi antara agensi dan penganjuran program berimpak tinggi.
