KUALA LUMPUR – Aluna Signature hari ini dilancarkan secara rasmi sebagai pusat rawatan kesihatan premium yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), inovasi robotik dan warisan penyembuhan Diraja Bali. Majlis perasmian disempurnakan oleh Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam, dalam satu acara yang berlangsung di Aluna Signature, Bangsar.
Pelancaran tersebut menandakan pengenalan konsep “Intelligent Healing”, iaitu pendekatan rawatan yang menggabungkan terapi manual, analisis teknologi moden serta kaedah penyembuhan tradisional yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Pengerusi Aluna Group, Ayu Zaimah, berkata penubuhan Aluna Signature merupakan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian kesihatan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat Malaysia.
“Gaya hidup moden hari ini menyebabkan ramai berhadapan masalah sakit badan, tekanan dan gangguan tidur. Aluna Signature diwujudkan bagi menyediakan ruang pemulihan dengan rawatan yang bukan sahaja memberi kelegaan segera, tetapi menangani punca sebenar,” katanya.
Teknologi Robotik EMMA Tingkat Ketepatan Rawatan
Antara tarikan utama pusat rawatan ini ialah penggunaan robotik EMMA (Expert Manipulative Massage Automation), hasil kerjasama penyelidikan antara Nanyang Technological University (NTU), Singapore General Hospital, dan Mayo Clinic, Amerika Syarikat.
EMMA dilengkapi sensor yang mampu menganalisis ketegangan otot, postur dan titik tekanan dengan lebih tepat. Data yang dikumpul digunakan oleh ahli terapi untuk menghasilkan rawatan yang lebih konsisten dan menyasar punca kesakitan secara saintifik.

Ayu menjelaskan bahawa teknologi tersebut membantu mengurangkan amalan rawatan bersifat sementara.
“Kebanyakan rawatan hanya menghilangkan sakit buat seketika. EMMA membolehkan kami mengenal pasti bahagian tubuh yang memerlukan pemulihan sebenar agar kesan rawatan lebih efektif dan berkekalan,” katanya.
Selain teknologi moden, Aluna Signature turut memperkenalkan Royal Bali Treatment, rawatan eksklusif berinspirasikan ritual penyembuhan istana Bali. Rawatan ini merangkumi teknik urutan tradisional Bali, minyak herba eksklusif serta ramuan purba yang diformulasi semula untuk memenuhi keperluan masyarakat masa kini.
Rawatan tersebut memberi fokus kepada keseimbangan tubuh, tenaga dan emosi, menjadikannya pilihan bagi pelanggan yang mahukan pengalaman pemulihan holistik dalam suasana premium.
Ayu menegaskan bahawa gabungan teknologi robotik EMMA dan terapi tradisional Bali menawarkan pendekatan pemulihan dua dimensi yang saling melengkapi.

“Sentuhan tradisional Bali memberikan pemulihan dari segi emosi dan spiritual, manakala EMMA menawarkan ketepatan saintifik. Gabungan ini menghasilkan rawatan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Aluna Signature beroperasi di bawah Aluna Asia, sebuah pusat rawatan kesihatan premium yang menggabungkan terapi tradisional dengan inovasi moden. Memegang prinsip “Where Tradition Meets Innovation”, Aluna menekankan rawatan berasaskan warisan penyembuhan namun dipertingkatkan dengan teknologi masa kini.
Setiap rawatan direka secara peribadi mengikut keperluan individu bagi memastikan hasil rawatan lebih konsisten dan berimpak jangka panjang, sekali gus memulihkan keseimbangan tubuh, minda dan emosi pelanggan.
