Shah Alam – Naturenix Inc., syarikat teknologi bateri dari Jepun, kini bekerjasama dengan TEASK untuk membawa teknologi pengecas ultra-pantas 3minGo! bagi motosikal elektrik ke pasaran Malaysia.
Teknologi 3minGo! daripada Naturenix menggunakan sel lithium-ion SCiB™ jenama Toshiba yang direka agar boleh dicas dalam masa tiga minit sahaja. Sistem ini direka supaya bateri kekal pada motosikal semasa pengecasan tiada keperluan untuk menukar bateri seperti sistem “swap” konvensional.
Selain itu, teknologi 3minGo! menggunakan “AmpDrive” milik Naturenix, yang membolehkan pengecasan pantas menggunakan soket kuasa biasa satu fasa, menjadikannya mesra pengguna dan mudah dipasang.
Salah satu cabaran elektrik motosikal di negara panas ialah degradasi bateri akibat suhu yang tinggi. Naturenix menjelaskan bateri mereka mampu menahan suhu sehingga 55°C dan mempunyai kitar hayat yang panjang dan ciri ini sangat relevan untuk negara seperti Malaysia yang mempunyai iklim panas dan lembap.

Pengarah Urusan Naturenix, Yuta Akakuma, menjelaskan bahawa syarikatnya dikenali melalui teknologi 3minGo! sistem pengecasan ultra pantas yang mampu memulihkan bateri motosikal elektrik dalam tempoh hanya tiga minit, tanpa memerlukan proses pertukaran bateri.
Menurutnya, teknologi tersebut telah diuji dalam projek perintis di Thailand bagi mengatasi isu bateri mudah rosak akibat cuaca panas serta masa pengecasan yang terlalu lama. Sementara itu di Indonesia, pengguna motosikal elektrik dilaporkan menikmati pengalaman pengecasan yang lebih mudah dan praktikal, hampir menyerupai proses mengisi minyak di stesen petrol.
Jelasnya lagi, Naturenix turut menawarkan konsep “Battery as a Service” (BaaS) dimana penguna boleh melanggan bateri, pengecas dan tenaga sebagai satu pakej. Ini mengurangkan kos awal bagi pengguna motosikal elektrik kerana mereka tidak perlu membeli bateri dengan segera.
Pengasas Bersama TEASK, Kapten James Anthony Tan, berkata TEASK yang sebelum ini membangunkan stesen pengecas solar mudah alih pertama untuk basikal elektrik di Malaysia akan memperluas pemasangan infrastruktur pengecasan EV khusus untuk motosikal di pelbagai lokasi strategik termasuk kawasan bandar, pusat komersial, universiti dan hospital.
Tambahnya, langkah tersebut dijangka memudahkan pemilik motosikal elektrik serta membantu mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti rendah karbon.

“Kerjasama ini amat penting kerana ia menawarkan manfaat besar kepada pengguna motosikal. Walaupun pelaksanaannya memerlukan masa, ia merupakan usaha yang membawa kita menuju teknologi masa depan.
“Pada peringkat awal, kami hanya mampu menawarkan tempoh pengecasan sekitar empat jam, namun selepas menjalankan penyelidikan bersama Naturenix, kami berjaya mencapai tempoh tiga minit bagi pengecasan minimum 20 hingga 80 peratus bateri.
“Kebanyakan pengguna jalan raya adalah penunggang motosikal dan mereka berdepan kekurangan stesen pengecasan yang sesuai untuk kenderaan dua roda. Dengan adanya teknologi ini, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos, malah mempercepatkan proses pengecasan motosikal elektrik,” katanya.
Dengan termetrainya MoU antara Naturenix dan TEASK ini bakal membawa potensi besar dalam mempercepat transformasi mobiliti elektrik di Malaysia. Teknologi 3minGo! menawarkan pendekatan pengecasan yang pantas, praktikal dan mesra pengguna membuka peluang baru untuk penggunaan motosikal elektrik yang lebih meluas dan mampan di tanah air.
