Shah Alam – Syarikat PNH Malaysia bersama Haco Asia Pacific memperluas inisiatif kelestarian dengan melancarkan sebuah projek transformasi sisa kopi kepada biochar, satu langkah hijau yang membabitkan teknologi karbonisasi pada suhu rendah yang inovatif.
Melalui kerjasama ini, sisa kopi yang biasanya sukar diuruskan seperti biji kopi terpakai (spent coffee grounds) akan diubah menjadi “biochar”, sejenis karbon padat yang dihasilkan menerusi proses pirolisis. Kaedah ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa, tetapi juga mencipta bahan bernilai tinggi yang boleh digunakan semula dalam industri pelbagai guna.
Proses ini mengambil inspirasi daripada kajian saintifik global mengenai penggunaan sisa kopi sebagai biochar. Menurut penyelidikan, biochar dari sisa kopi mempunyai potensi tinggi sebagai agen penjerap karbon atau nutrien kerana kandungan karbon dan sifat elektrokimia tertentu.

Usaha ini menandakan satu langkah besar dalam aliran ekonomi pekeliling (“circular economy”) di Malaysia. PNH Malaysia menyasarkan agar projek perintis ini tidak hanya menyelesaikan isu sisa, tetapi juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta penghasilan bahan mampan.
Tambahan pula, biochar dari sisa kopi boleh dijadikan bahan dalam pertanian untuk menyuburkan tanah atau sebagai bahan binaan alternatif selari dengan trend global penggunaan biochar.
Haco Asia Pacific, syarikat pengeluar kopi yang berpengalaman sejak bertahun-tahun, menyumbang sebagai penyumbang utama sisa kopi. Dengan kemudahan pembuatan di Shah Alam, Selangor, Haco mempunyai kapasiti untuk mengumpul dan menyalurkan sisa kopi dari operasi pengeluaran mereka untuk diproses menjadi biochar.
Menurut Pengarah Urusan Haco Asia, Roy C.S. Lee, Haco menitikberatkan inovasi dan kualiti dalam perniagaan kopi mereka dan kini meluaskan kepakaran melalui projek baru yang menekankan kelestarian.
“Hampas kopi, yang sebelum ini dianggap sisa, kini diubah menjadi produk bernilai. Kami yakin kerjasama ini boleh diperluas pada masa akan datang untuk memproses pelbagai jenis biomas lain.
“Jumlah sisa kopi yang kami bekalkan kebiasaany mencapai lebih 5 tan dan saya percaya jumlah ini bakal meningkat dari masa ke semasa.
“Selain menangani isu pengurusan sisa, inisiatif ini juga merupakan langkah penting dalam membangunkan industri makanan yang lebih mesra alam dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PNH Malaysia, Jian Tat Lee berkata, syarikatnya menggunakan sistem “Catalytic Low-Temperature Carbonization” yang dibangunkan bagi mengupayakan bahan organik seperti sisa makanan atau kopi supaya dapat dirubah menjadi karbon terhijau.
Teknologi ini menjanjikan proses yang lebih mesra alam kerana beroperasi pada suhu lebih rendah berbanding kaedah tradisional, sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah kaca.

“Proses ini menghasilkan biochar yang semakin mendapat perhatian dalam sektor pertanian, tenaga boleh diperbaharui, dan pembuatan bahan biodegradable. Biochar bukan sahaja meningkatkan kesuburan tanah dan berfungsi sebagai bahan bakar bersih, malah menjadi komponen penting dalam penghasilan bioplastik moden.
“Keupayaan menukar sisa kopi kepada biochar juga bukan sahaja menjimatkan kos pelupusan sisa industri makanan, tetapi turut membuka peluang baharu untuk penyelidikan dan pembangunan aplikasi mesra alam,” katanya dalam sidang media di Unisel, Shah Alam.
Inisiatif antara PNH Malaysia dan Haco Asia ini mencerminkan evolusi model perniagaan yang lebih lestari dan tanggungjawab korporat. Melalui teknologi karbonisasi dan penggunaan semula sisa kopi, mereka berpotensi menyumbang secara signifikan kepada usaha negara dalam peralihan kepada ekonomi rendah karbon serta sistem kitar semula sumber yang lebih efisien.
