KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasakan generasi muda di rantau Asia-Pasifik menghadapi pasaran kerja masa depan, HONOR telah melancarkan inisiatif baharu bernama AI + Youth Empowerment Society (AYES) sempena acara HONOR AI + Design Summit 2025 (Edisi APAC) di sini.
Dalam persekitaran global yang kini berkembang pantas ke arah automasi, AI dan transformasi digital banyak pekerjaan tradisional berisiko digantikan atau terjejas. Inisiatif seperti AYES dilihat sebagai langkah proaktif untuk merapatkan jurang kemahiran (skills gap) dan membantu belia terus relevan.
Selain itu, AYES juga membuka ruang kepada belia untuk meneroka kreativiti mereka bukan sekadar dari aspek teknikal, tetapi dalam reka bentuk, seni, inovasi digital, dan penyelesaian kreatif lain yang boleh digabungkan dengan AI.

Sebagai penghargaan awal terhadap sumbangan dalam memajukan pendidikan kreatif dan peluang belia, HONOR menganugerahkan “AYES Outstanding Contribution Award” kepada pereka muda dari Malaysia, di atas kerja-kerja pendidikan seni dan kreatif yang telah membantu lebih 10,000 pencipta muda dalam pelbagai bengkel dan inisiatif.
Dengan lebih 700 juta golongan muda di rantau itu, AYES akan memberi fokus kepada pembangunan tenaga kerja masa depan melalui pendidikan dan peluang kolaborasi.
AYES dilancarkan bersama 25 ahli pengasas melibatkan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta rakan industri.
Antara ahli utama ialah National AI Office (Malaysia), Universiti Sains Malaysia (USM), Central Academy of Fine Arts (China), Nanyang Academy of Fine Arts (Singapura) dan GSMA APAC. HONOR bertindak sebagai unit pemula dan penyelaras inisiatif tersebut.
Naib Presiden Kanan HONOR, Martin Xu berkata, kerjasama itu penting dalam memperkasakan generasi muda di rantau APAC.

“Selain AYES, HONOR turut menyokong bakat muda melalui HONOR Talents Design Competition yang telah menarik lebih 35,000 pencipta dari lebih 40 negara,” ujarnya ketika majlis pelancaran diadakan di ibu negara pada Isnin.
Hadir sama President of HONOR South Pacific, Justin Li; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) merangkap Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia National AI Office, Shamsul Izhan Abdul Majid.
