2

Shah Alam – Berjaya Land Bhd secara rasmi telah melancarkan Bayu Timur Residences bernilai RM398 juta, sebuah pembangunan kondominium pegangan bebas yang terletak di atas tanah seluas 8.5 ekar di Berjaya Park di Kota Kemuning, Shah Alam pada hari Khamis.

Sebuah projek kondominium bernilai RM398 juta dan menjadi pembangunan kedua terakhir di perbandaran itu merupakan penanda aras fasa hampir lengkapnya pembangunan Berjaya Park yang bermula lebih dua dekad lalu.

Hanya satu lot tanah masih berbaki untuk pembangunan masa depan, menjadikan Bayu Timur Residences antara peluang terakhir bagi pembeli untuk memiliki hartanah baharu dalam kawasan perbandaran matang itu.

Dari kiri; Pengarah Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Bhd, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Ali Shahul Hameed, dan Pengarah Eksekutif, Tan Tee Ming, pada majlis pelancaran rasmi Bayu Timur Residences.

Menurut Pengarah Eksekutif Berjaya Land, Tan Tee Ming, projek ini bukan sekadar pelancaran baharu, tetapi kesinambungan usaha syarikat memperkukuh nilai kawasan serta menyediakan pilihan kediaman yang lebih baik untuk komuniti Kota Kemuning.

Bayu Timur Residences menampilkan 518 unit dalam empat blok dua blok rendah empat tingkat dan dua blok tinggi 23 tingkat. Unit ditawarkan pada keluasan 1,000 hingga 1,280 kaki persegi, dengan pilihan unit dwi-kunci dan harga bermula RM500,000. Yuran penyelenggaraan ditetapkan pada 28 sen sekaki persegi, termasuk dana penyenggaraan.

Setiap unit akan dilengkapi bilik air siap pasang, kabinet dapur dengan hud dan dapur masak, kunci digital, pemanas air segera dan penyaman udara.

Lebih 30 kemudahan disediakan termasuk kolam renang, gimnasium, ruang kerja bersama dan dewan serbaguna, selain kawasan hijau seluas dua ekar serta sistem keselamatan tiga peringkat.

Kedudukannya yang strategik bersebelahan Bukit Kemuning Golf & Country Resort dan hanya beberapa minit dari KESAS, LKSA dan ELITE menjadikan projek ini sesuai untuk pembeli rumah pertama mahupun pelabur yang mahukan akses mudah ke Shah Alam dan kawasan sekitar Lembah Klang.

Jelasnya lagi, projek ini dijangka siap pada tahun 2029.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading