Kuala Lumpur – Ketika bulan suci Ramadan menghampiri penghujungnya, satu tempoh yang penuh dengan refleksi kesyukuran dan semangat kebersamaan, inisiatif “Menyebarkan Harapan, Kekuatan dan Senyuman” dengan bangganya melaksanakan program sumbangan khas bagi tahun ini.
Kempen tersebut memberi tumpuan kepada sokongan menyeluruh kepada kanak-kanak pesakit kanser serta keluarga mereka melalui strategi sumbangan tiga serangkai yang merangkumi keperluan dapur harian, mainan ceria untuk kanak-kanak serta sumbangan kewangan Aidilfitri.

Program ini telah diadakan di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur serta lawatan kasih mahabbah di Wad 10B Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, dan telah menyantuni 35 keluarga kanak-kanak pejuang kanser, yang sebahagiannya masih menjalani rawatan manakala yang lain merupakan pesakit yang sedang dalam proses pemulihan dengan pemantauan perubatan berterusan. program ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan emosi kanak-kanak dan keluarga mereka, di samping memberi peringatan bahawa mereka tidak keseorangan dalam perjalanan mencabar ini.
Bagi keluarga yang melalui cabaran kompleks penyakit kanser dalam kalangan kanak- kanak, beban emosi dan kewangan yang ditanggung adalah sangat besar. Inisiatif ini
bertujuan memastikan tiada keluarga yang berasa sendirian sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini, sekali gus menterjemahkan semangat sadaqah kepada bantuan yang nyata serta menghadirkan sokongan rohani kepada mereka yang memerlukan.
Program “Menyebarkan Harapan, Kekuatan dan Senyuman pada Ramadan Ini untuk Kanak-kanak Pejuang Kanser dan Keluarga Mereka” ini dianjurkan dengan kerjasama rakan-rakan strategik daripada sektor kesihatan dan komuniti termasuk Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Malaysian Children’s Cancer Parents and Support Group serta Adina Charity Circle dan Hawks International sebagai rakan kerjasama strategik atas jemputan.
Sepanjang program ini berlangsung, para sukarelawan serta wakil organisasi yang terlibat mengagihkan pek Ramadan dan mini hamper yang disediakan khas untuk kanak-kanak dan keluarga mereka. Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban keluarga sepanjang bulan puasa, malah turut mewujudkan suasana yang lebih mesra dan menyokong semangat kerohanian yang membangun. Kanak-kanak disambut dengan senyuman, hadiah kecil serta kata-kata semangat yang memberi kegembiraan di sebalik cabaran yang mereka lalui, selain
turut dihiburkan oleh para sukarelawan yang hadir.

Pada sebelah petang, para sukarelawan dan wakil komuniti turut menghulurkan sokongan dengan mengagihkan 50 pek makanan kepada pesakit kanser serta kakitangan wad 10B di Hospital Tunku Azizah, bagi memastikan mereka yang berada di hospital turut dapat merasai semangat keprihatinan, kasih sayang dan kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
Wakil daripada organisasi yang bekerjasama turut menyatakan bahawa Ramadan adalah masa yang penting untuk menerapkan nilai keprihatinan, kemurahan hati dan muhasabah diri. Menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang berjuang melawan kanser mencerminkan makna sebenar bulan yang mulia ini dengan berkongsi rezeki, menyebarkan kebaikan serta mengangkat semangat mereka yang memerlukan.
Di Malaysia, nilai perpaduan serta semangat saling membantu sentiasa menjadi asas penting dalam membina masyarakat yang prihatin. Melalui inisiatif ini, para penganjur berharap program ini dapat terus memupuk budaya keprihatinan komuniti, empati dan sokongan bersama kepada kanak-kanak yang berjuang melawan kanser serta keluarga mereka. Kerjasama antara institusi kesihatan, organisasi kebajikan dan sukarelawan komuniti ini membuktikan bahawa sinergi antara pelbagai pihak mampu memberi impak positif yang besar apabila disatukan oleh matlamat bersama untuk membawa perubahan yang bermakna.
