Kuala Lumpur – Model SUV terbaharu daripada Jetour iaitu Jetour T2 mula mencuri perhatian pengguna di Malaysia apabila menerima sambutan menggalakkan sejurus selepas pengumuman harga dan pembukaan tempahan awal. Permintaan tinggi itu mencerminkan minat pengguna terhadap SUV yang menawarkan gabungan gaya lasak, teknologi moden dan prestasi mantap.
Menurut pihak syarikat, jumlah pertanyaan dan tempahan awal meningkat ketara dalam tempoh 48 jam selepas harga anggaran model tersebut diumumkan, sekali gus menunjukkan keyakinan pengguna tempatan terhadap jenama Jetour yang semakin berkembang dalam pasaran automotif negara.

Naib Presiden Jetour Malaysia, Nicholas Ng berkata, sambutan positif itu membuktikan pengguna Malaysia semakin memahami konsep Travel+, iaitu falsafah jenama Jetour yang menekankan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, fleksibel dan sesuai untuk pelbagai gaya hidup.
Beliau berkata, kejayaan awal model T2 turut mengukuhkan kedudukan jenama tersebut dalam segmen SUV yang semakin kompetitif di Malaysia.
“Reaksi positif daripada pasaran menunjukkan rangkaian SUV Jetour semakin mendapat perhatian. Model T2 menandakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan jenama ini dan mencerminkan komitmen kami untuk menghasilkan kenderaan yang menyokong pengalaman pengembaraan tanpa batas,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengukuhkan Barisan SUV Jetour di Malaysia
Kehadiran Jetour T2 menambah lagi pilihan dalam barisan SUV jenama tersebut di Malaysia, selepas pelancaran model seperti Jetour Dashing dan VT9 sebelum ini yang turut mendapat perhatian pengguna tempatan.
Secara global, Jetour merupakan jenama automotif di bawah kumpulan pengeluar China yang terus mengembangkan pasaran antarabangsa, termasuk di Asia Tenggara dan Timur Tengah. Malaysia dilihat sebagai salah satu pasaran penting dalam strategi pengembangan jenama itu di rantau ini.
Reka Bentuk Lasak dan Teknologi Moden
Jetour T2 tampil dengan reka bentuk kotak yang maskulin dan imej lasak yang sesuai untuk pemandu yang gemarkan aktiviti luar serta pengembaraan. Model ini turut dilengkapi dengan pelbagai ciri teknologi moden bagi meningkatkan pengalaman pemanduan dan keselesaan pengguna.

Dari segi prestasi, SUV ini dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa sekitar 245 kuasa kuda serta 375Nm tork, digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda pintar (XWD). Gabungan ini membolehkan kenderaan menyesuaikan prestasi mengikut pelbagai jenis permukaan jalan melalui mod pemanduan yang berbeza.
Model ini juga dilengkapi pelbagai ciri teknologi seperti skrin infotainmen bersaiz besar, sistem bantuan pemanduan moden, serta ciri keselamatan yang menyumbang kepada penarafan keselamatan 5 bintang ASEAN NCAP.
Harga dan Tempahan
Di Malaysia, Jetour T2 dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran sekitar RM156,800, bergantung kepada spesifikasi dan pasaran. Pelanggan boleh membuat tempahan melalui pengedar sah Jetour di seluruh negara.
Model ini dijangka menarik minat pembeli yang mencari SUV serba boleh sama ada untuk kegunaan harian di bandar, perjalanan jarak jauh bersama keluarga, mahupun aktiviti pengembaraan.

Dengan gabungan reka bentuk berkarakter, teknologi canggih serta prestasi yang mantap, Jetour T2 dilihat berpotensi menjadi antara pencabar baharu dalam segmen SUV gaya hidup di Malaysia.
Bersempena dengan pelancaran, Jetour Malaysia turut menawarkan pakej berikut:
- Jaminan 7-tahun atau had perbatuan 150,000 km
- Jaminan enjin 10-tahun atau had perbatuan 1 juta km
- Pakej servis percuma (5 kali)
- Pakej early bird berupa rebat tunari RM2,000 (untuk 3,000 pelanggan pertama)
Spesifikasi Jetour T2 2026
SUV ini dikuasakan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.
Kuasa sekitar 241 hp @ 5,500 rpm serta daya kilas 375 Nm @ 1,750-4,500 rpm itu kemudian disalur kepada sistem pacuan semua roda Intelligent XWD.

Jetour T2 menyediakan 7 mod pemanduan serta mod adaptif X.
SUV ini membawakan ukuran sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi 1,870 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm.
Ia menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang.
Jetour T2 menawarkan sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 30 darjah, jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm dan mampu meredah air sedalam 700 mm.
Ciri lain termasuklah:
- jeriji hadapan dengan perkataan JETOUR bercahaya
- rim aloi 19 inci
- sistem lampu LED
- pintu tailgate dengan fungsi sedutan elektrik
- ruang simpanan tayar pada pintu tailgate
Kelengkapan kabin dan keselamatan
Ruang kabin Jetour T2 menampilkan ciri berikut:
- skrin kluster digital 10.25 inci
- skrin infohibur 15.6 inci
- tempat duduk baris depan balutan leatherette dengan larasan kuasa, pengudaraan dan fungsi memori
- bumbung kaca panorama
- sistem pencahayaan ambien
- sistem audio Sony Premium dengan 12 pembesar suara
- slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
SUV ini menawarkan ruang kargo sebesar 580 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,494 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Secara standard, Jetour T2 dilengkapi dengan enam beg udara serta 14 ciri ADAS Tahap 2 termasuklah:
- brek kecemasan autonomi (AEB)
- bantuan jelajah bersepadu (ICA)
- sistem pengesanan titik buta (BSD)
- amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
- bantuan suluhan tinggi pintar (IHBC)
- amaran pelanggaran hadapan (FCW)
- amaran pelanggaran belakang (RCW)
- sistem pengelakan pintar (IAS)
- kawalan jelajah adaptif (ACC)
- amaran bukaan pintu (DOW)
- bantuan kesesakan trafik (TJA)
Tidak ketinggalan, ciri yang memudahkan pemandu seperti sistem pemantauan keliling (PVM) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Warna
Terdapat tiga warna yang ditawarkan untuk Jetour T2 2026:
- Khaki White
- Aviation Silver
- Carbon Black





