Kuala Lumpur – Dalam landskap politik Malaysia yang sering berubah arah dan penuh badai, hanya segelintir yang mampu bertahan tanpa goyah. Di tengah gelora itu berdirilah seorang wanita yang namanya sinonim dengan ketabahan, integriti dan kesetiaan—Datuk Dr. Fuziah Salleh, 66, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Tokoh wanita ini bukan sekadar pemain lama dalam politik, beliau adalah simbol kekuatan yang istiqamah selama lebih dua dekad. Baru-baru ini, beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua, suatu pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangannya yang tidak pernah surut.
Dengan lantikan semula tersebut, Dr. Fuziah terus menggalas peranan penting sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), jawatan yang disandang sejak September 2024. Lantikan ini bukan sekadar formaliti, tetapi tanda kepercayaan mendalam pimpinan terhadap kebijaksanaan dan ketenangan beliau dalam mengurus jentera parti.
Sejarah politik Dr. Fuziah adalah kisah setia yang jarang ditemui pada era politik moden. Sejak PKR ditubuhkan 26 tahun lalu, beliau tidak pernah berpaling. Dalam suka duka, naik turun, beliau kekal berdiri bersama parti.
Ujian terbesar hadir ketika episod “Langkah Sheraton”, yang hampir melumpuhkan sayap Wanita Keadilan. Dalam situasi genting itu, beliau kembali memikul amanah sebagai penyelamat organisasi—membina semula struktur, memupuk semangat anggota, dan bangkit bersama pasukan sehingga kembali menjadi sayap yang disegani.
Kepimpinannya tidak dramatik, tidak bising tetapi bekerja dalam diam, penuh kesabaran dan keberanian.
Tahun 2024 mencatat sejarah apabila Dr. Fuziah dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR Wanita pertama. Tugasnya bukan kecil. Mengurus “parti dalam parti”, menenangkan gelora dalaman, menyusun semula struktur di peringkat cabang dan memacu digitalisasi parti—semuanya dijayakan dengan gaya kepimpinan beliau yang lembut tetapi tegas.
Beliau dikenali sebagai pendamai. Di mana ada persengketaan, di situ hadirnya beliau untuk meredakan. Di mana ada kekusutan, di situlah kebijaksanaannya menyusun kembali kepingan yang retak.
Legasi Perjuangan: Dari Anti-Lynas ke Reformasi Kehakiman Syariah
Nama Fuziah Salleh sudah lama terpahat dalam ingatan rakyat Kuantan sebagai “Pejuang Anti-Lynas”. Suaranya di Parlimen lantang, tetapi berfakta. Perjuangannya demi keselamatan rakyat berlangsung lebih satu dekad dan membawa kesedaran nasional.
Dalam perkhidmatan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau melakar kejayaan besar apabila melantik Hakim Syarie Wanita pertama Malaysia, membuka lembaran baharu dalam institusi kehakiman Islam.
Semuanya dilakukan bukan untuk nama, tetapi demi prinsip bahawa wanita juga berhak berada di meja membuat keputusan.
Pentadbir Yang Mencipta Solusi, Bukan Sekadar Mengurus
Di KPDN, Dr. Fuziah mengukuhkan reputasi sebagai pencetus idea bernas demi rakyat. Beliau tidak menunggu arahan; sebaliknya mencipta penyelesaian.
Antara inisiatif paling signifikan hasil idea beliau antaranya; Jualan Rahmah Bergerak, dan Aduan Suri.
Kedua-dua program ini membuktikan bahawa Dr. Fuziah memahami denyut nadi rakyat secara mendalam.
Memasuki penggal kedua sebagai Ahli Dewan Negara dan Timbalan Menteri KPDN, tumpuan Dr. Fuziah jelas tentang pemantauan harga barang, subsidi bersasar RON95 dan diesel, serta kelestarian kesejahteraan rakyat.
Keupayaan beliau mengemudi kementerian telah terbukti melalui tindakan konsisten, tenang dan berstrategi.
Dalam politik yang penuh hiruk-pikuk, Dr. Fuziah Salleh muncul sebagai pengecualian pemimpin yang tidak pernah merajuk, tidak pernah gentar, dan tidak pernah berhenti bekerja.
Dari kaunselor psikologi, ke Parlimen, ke kementerian, hingga ke pentadbiran parti, perjalanan beliau adalah bukti bahawa wanita mampu menjadi tiang utama parti dan negara.
Beliau bukan sekadar ahli politik. Beliau adalah srikandi yang terus melakar perubahan tanpa menoleh ke belakang selama 26 tahun.
