Kuala Lumpur – Stesen televisyen Islam terkemuka di Malaysia, TV AlHijrah, menutup tirai tahun 2025 dengan penuh kejayaan dan pencapaian yang membanggakan sambil memperkukuh peranannya dalam menyebarkan nilai dakwah secara lebih “bergerak” di lapangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, sepanjang tahun ini, stesen tersebut telah berjaya menghasilkan kandungan berkualiti tinggi, meneroka format program baharu dan memperluas penerimaan masyarakat terhadap siaran Islamik, termasuk melalui platform digital.

Program Penutup Tahun yang Menarik Perhatian
Menjadi tumpuan utama sebagai penutup tahun adalah Konsert Malam Hijrah Bergema, yang diadakan buat kali pertama di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada malam 31 Disember 2025. Konsert ini mengetengahkan irama nasyid, zikir dan semangat hijrah, dengan persembahan daripada kumpulan nasyid terkenal seperti Rabbani, Raihan, Inteam, UNIC, serta penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash.
Program ini merupakan usaha khas daripada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, sebagai satu alternatif hiburan yang selaras dengan nilai Islam kepada masyarakat, terutamanya golongan anak muda.

Sebagai ‘pemanas’ kepada konsert malam itu, TV AlHijrah menganjurkan Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA dan Bengkel Solat pada 30 Disember, dengan fokus memperkukuh asas ibadah solat dalam kehidupan umat Islam. Program ini turut menampilkan tokoh-tokoh agama seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.
Turut disiarkan ialah Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga pada 27 Disember, yang mengiktiraf karya muzik Islamik terbaik tahun ini.
Di platform digital AlHijrah Plus (AH+), penonton dapat menikmati program lifestyle Islamik seperti Tenang Sekejap, serta lima telefilem terbaik Disember yang menggabungkan nilai dakwah dan kualiti visual tinggi, menampilkan pelakon-pelakon tersohor.

Melangkah ke tahun baru, Namanzee menegaskan bahawa TV AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi mahu menjadi gerakan masyarakat dengan memperluas capaian dakwah secara langsung di lapangan. Antara fokus utama ialah pengisian di masjid, institusi pendidikan, serta penganjuran Karnival Hijrah 2026 bagi mendekatkan nilai Islam kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Dengan itu, TV AlHijrah mengakhiri 2025 dalam suasana syukur dan optimis, bersiap sedia menyemai impak positif yang lebih luas pada 2026.
