Kuala Lumpur – Bonda Umirah bukanlah satu nama asing dalam kalangan para isteri dan ibu bapa di Malaysia. Melalui perkongsian konsisten di media sosial serta penulisan berterusan, beliau dikenali sebagai antara figura yang aktif memperjuangkan pemerkasaan isteri dan pengukuhan keibubapaan dalam masyarakat moden.
Selepas kejayaan buku sulungnya, Ibu Penat Tapi Ibu Sayang, yang mencatat lebih 20,000 naskhah terjual bagi cetakan pertama, Bonda Umirah kembali mencuri perhatian dengan pelancaran karya terbaharu berjudul Seratus Surat Cinta Buat Isteri. Buku ini diterbitkan di bawah label Karya Bonda, sebuah penerbitan yang diasaskan sendiri oleh beliau.

Di sebalik kesibukan sebagai penulis dan pempengaruh, Bonda Umirah kini sedang melengkapkan pengajian Ijazah Sarjana di Management & Science University (MSU), dalam masa yang sama menjalani proses akreditasi sebagai Kaunselor Bertauliah di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau turut menggalas peranan besar sebagai ibu kepada tujuh orang anak serta isteri kepada seorang usahawan.
Keupayaan menyeimbangkan pelbagai peranan ini menjadikan beliau sumber inspirasi kepada ramai wanita yang berusaha mengharmonikan kerjaya, ilmu dan keluarga.
Majlis pelancaran buku Seratus Surat Cinta Buat Isteri diadakan secara tertutup dan eksklusif, sejajar dengan tema cinta, hubungan dan keintiman emosi yang diketengahkan dalam karya tersebut. Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah, Tuan Nadir Al-Nuri, Tuan Ahmad Musa Al Nuwayri serta Firdaus Wong.
Pemilihan lokasi yang intim mencerminkan mesej utama buku ini hubungan suami isteri yang perlu dipelihara dengan komunikasi, empati dan kasih sayang yang berterusan.

“Untuk edisi pertama, sebanyak 15,000 naskah diterbitkan dan buku ini memfokuskan rasa sayang dan kasih isteri sebagai tonggak kestabilan rumah tangga. Ia lahir daripada keprihatinan terhadap realiti semasa, di mana institusi perkahwinan semakin diuji, terutamanya dengan paparan negatif hubungan suami isteri di media sosial serta peningkatan statistik perceraian yang membimbangkan.
“Ia bukanlah sekadar surat cinta seorang isteri kepada pasangannya namun ia bukti pengorbanan dan ketelusan kasih paling dalam satu figura istimewa dalam rumah tangga” ujarnya selepas majlis pelancaran.
Melalui pendekatan yang lembut, reflektif dan penuh empati, Seratus Surat Cinta Buat Isteri mengajak wanita untuk mengenali nilai diri, menguatkan emosi dan memainkan peranan penting dalam mempertahankan keharmonian keluarga.
Perjuangan Bonda Umirah dalam isu kekeluargaan bukan sesuatu yang baharu. Ia bermula lebih lapan tahun lalu, apabila beliau membuat keputusan besar meninggalkan bidang perubatan demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh institusi keluarga dalam masyarakat.
Keputusan tersebut lahir daripada keyakinan bahawa keluarga adalah asas pembentukan masyarakat yang sihat, dan usaha memperbaikinya perlu dilakukan secara berterusan melalui pendidikan, kesedaran dan contoh teladan.

Sebagai ibu, Bonda Umirah turut menekankan kepentingan hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak, khususnya dalam mendepani cabaran dunia digital masa kini. Perkongsian tip keibubapaan beliau di media sosial telah memberi manfaat kepada ribuan ibu bapa dalam memahami pendekatan mendidik anak yang lebih relevan dengan perubahan zaman.
Pendekatan yang praktikal dan berlandaskan kasih sayang menjadikan mesej beliau mudah diterima dan diaplikasikan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
