KUCHING – Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo, sekali lagi menegaskan bahawa ia akan mengekalkan tambang penerbangan yang adil dan berpatutan melalui keseluruhan rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), ketika syarikat itu bersiap sedia untuk memulakan operasi penuh selepas mengambil alih perkhidmatan yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings.
Dalam satu kenyataan rasmi, AirBorneo menyatakan bahawa semua laluan yang ditawarkan pada peringkat awal operasi akan berada di bawah program RAS sama seperti rangkaian yang pernah dijalankan oleh MASwings merangkumi destinasi di Sarawak, Sabah, dan Labuan.
Airline itu menegaskan bahawa tiada kenaikan tambang berbanding struktur harga MASwings terdahulu dan bahawa struktur tambang kini diselaraskan untuk memastikan operasi yang berterusan dan mampan sambil mengambil kira subsidi yang diberikan melalui Perjanjian Obligasi Perkhidmatan Awam dengan Kerajaan Persekutuan.
“Struktur tambang ini direka untuk mengekalkan keseimbangan antara aksesibiliti dan kemampanan operasi,” menurut kenyataan itu.
AirBorneo turut menyatakan hasratnya untuk meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tambang terbaik dapat dicapai bagi penumpang di kawasan timur Malaysia. Sebarang sebarang pelarasan harga akan dilakukan selepas perjanjian RAS yang baharu dipersetujui bersama.
Selain itu, bagi laluan yang bukan di bawah program RAS yang bakal dilancarkan pada masa depan, syarikat penerbangan itu sedang membangunkan strategi penetapan harga yang berpatutan yang mengambil kira kos operasi serta menawarkan nilai tambah, kesalinghubungan, kebolehpercayaan dan ketepatan masa kepada penumpang.
AirBorneo telah melancarkan laman web tempahan pada 10 Disember lalu, dengan tiket penerbangan mula dibuka untuk tempahan bagi perjalanan bermula 14 Januari 2026, selaras dengan tarikh pengambilalihan operasi MASwings secara rasmi oleh AirBorneo Holdings Sdn Bhd pada 1 Januari 2026.
Langkah ini dijangka memberikan kesinambungan perkhidmatan udara kepada komuniti luar bandar, sambil membina keyakinan bahawa kemudahan pengangkutan udara yang lebih adil dan berpatutan akan terus dinikmati oleh warga Sarawak, Sabah, dan Labuan.
