KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 pengunjung membanjiri lokasi pembukaan cawangan terbaru ST Rosyam Mart di Jakel Square, Kuala Lumpur malam ini, mencerminkan sambutan hangat masyarakat terhadap pasar raya halal 24 jam yang berkonsep borong dan runcit itu.
Pembukaan yang berlangsung pada malam ini merupakan cawangan kesembilan rangkaian ST Rosyam Mart dan kedua di ibu negara, sekali gus memperluaskan lagi jejak pasar raya itu di tengah kota. Outlet baharu ini dibuka secara rasmi dengan sambutan besar daripada pengunjung tempatan yang hadir sejak awal.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata, kumpulan Seri Ternak meneruskan langkah agresif dalam industri peruncitan dengan pembukaan ST Rosyam Mart dengan membawa konsep pasar raya lima bintang pada harga borong.
“Antara cabaran utama pembukaan cawangan itu adalah kos operasi yang tinggi, termasuk kadar sewaan yang mencecah hampir tiga kali ganda berbanding cawangan di luar bandar, namun syarikat komited mengekalkan harga mampu milik.
“Kali ini slogan kami ialah ‘selamatkan dompet warga kota’. Walaupun kos sewaan di Kuala Lumpur jauh lebih tinggi, kami tetap mengekalkan harga jualan borong seperti di cawangan lain.
“Pemilihan lokasi strategik di pusat bandar Kuala Lumpur dibuat selepas mengambil kira permintaan tinggi pelanggan, khususnya golongan B40 dan M40 yang berdepan tekanan kos sara hidup,” katanya dalam sidang media selepas Majlis perasmian ST Rosyam Mart yang disempurnakan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

ST Rosyam Mart di Jakel Square menawarkan model perniagaan unik yang menggabungkan operasi 24 jam, harga borong dan pengalaman beli-belah mesra pelanggan. Pasar raya ini menyediakan lebih 40,000 jenis produk merangkumi barangan runcit harian, bahan segar, minuman, dan produk import, semuanya disusun rapi dalam ruang seluas lebih 40,000 kaki persegi dengan laluan membeli-belah yang luas dan moden.
Satu ciri menarik di cawangan ini ialah zon khas “Malaysian Selection” yang menampilkan produk buatan tempatan seperti makanan ringan, minuman dan cenderamata memberikan pengunjung peluang untuk menyokong barangan tempatan sambil membeli keperluan harian mereka.
“Antara kemudahan utama ialah servis buggy, servis bantuan menghantar barangan yang dibeli selepas selesai membeli-belah dan pada masa sama, pelanggan turut menikmati kemudahan pesanan awal melalui telefon sebelum datang mengambil barangan di outlet, termasuk perkhidmatan pandu lalu.
“Bagi memudahkan urusan harian pelanggan turut mendapatkan bantuan kecemasan seperti servis ‘jump start’ jika bateri kereta lemah, pam angin tayar, serta kemudahan pinjaman bank kuasa untuk pelanggan yang kehabisan bateri telefon,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor berkata, bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, cawangan di pusat bandar itu memperkenalkan ‘Malaysia Selection Corner’ yang menampilkan produk tempatan sebagai cenderamata untuk pelancong asing.
“ST Rosyam Mart turut bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjadikan premis itu sebagai antara lokasi persinggahan pelancong.
“Kedai ini beroperasi 24 jam dan sesuai untuk pelancong yang berada di pusat bandar terutama selepas jam 10 malam. Mereka boleh membeli barangan tempatan untuk dibawa pulang,” katanya.
Selain itu, ‘Celebrity Corner’ turut diperluaskan dengan penyertaan lebih 30 selebriti, atlet dan pempengaruh yang memasarkan produk masing-masing.

Reka bentuk dalaman pasar raya baharu ini menampilkan siling tinggi, susun atur rapi zon runcit, serta kemudahan kaunter layan diri (SCO) dan kaunter tunai yang mencukupi untuk menangani jumlah pengunjung yang ramai, terutamanya semasa waktu puncak. Keadaan ini menjadikan pengalaman membeli-belah lebih lancar dan efisien bagi semua golongan pelanggan.
Pengunjung yang hadir pada malam perasmian menyatakan rasa teruja terhadap pembukaan cawangan baru ini kerana ia memberikan lebih banyak pilihan barangan pada harga yang kompetitif, terutama di kawasan strategik bandaraya Kuala Lumpur. Keadaan pasar raya yang penuh sesak sejak awal menunjukkan tahap minat dan sokongan rakyat terhadap jenama tersebut.
Menurut pihak pengurusan, pembukaan di Jakel Square bukan sekadar pengembangan perniagaan, tetapi juga usaha untuk menyediakan pengalaman beli-belah yang mudah diakses, berkualiti dan berpatutan kepada penduduk tempatan dan pelancong.
