WhatsApp Image 2025-12-27 at 10.30.14

KUALA LUMPUR – Kejayaan dalam dunia keusahawanan bukan sekadar diukur melalui angka jualan atau kecanggihan teknologi, sebaliknya turut mencerminkan nilai keberanian, visi dan tanggungjawab sosial. Prinsip inilah yang menjadi tunjang kepada kejayaan GVT Sdn Bhd (Go Auto), sebuah syarikat automotif tempatan yang kini semakin menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Perkara itu dikongsikan oleh Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman menerusi satu hantaran di Facebook semalam, yang menampilkan kisah pengasas GVT Sdn Bhd (Go Auto), Wan Ahmad Wan Omar atau lebih dikenali sebagai WAWO, seorang usahawan yang rendah profil namun memiliki pencapaian luar biasa.

Menurut Dr. Azizan, WAWO merupakan contoh usahawan berjiwa besar yang bukan sahaja berjaya membina empayar perniagaan, malah sentiasa mengutamakan manfaat kepada masyarakat.

Berbekalkan latar belakang sebagai jurutera automotif, WAWO pernah terlibat secara langsung dalam pasukan pengasas projek kereta nasional kedua negara, Perodua. Pengalaman bertahun-tahun dalam industri tersebut mendorong beliau mengambil langkah berani meninggalkan kerjaya korporat yang stabil demi merealisasikan impian menubuhkan kilang kenderaan sendiri.

Keputusan itu bukan tanpa risiko, namun keberanian tersebut membuahkan hasil apabila GVT Sdn Bhd (Go Auto) berjaya menghasilkan hampir 10,000 unit van, bas dan trak merangkumi enjin petrol, diesel serta kenderaan elektrik (EV). Ketika ini, syarikat tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan EV sejajar dengan agenda kelestarian alam sekitar dan aspirasi hijau negara.

Lebih membanggakan, GVT Sdn Bhd (Go Auto) muncul sebagai syarikat Bumiputera pertama yang menghasilkan van komersial EV yang digunakan secara sebenar di lapangan, bukan sekadar pada peringkat prototaip.

Di peringkat antarabangsa, WAWO turut membawa nama Malaysia melalui projek eksport kereta bugi EV ke Amerika Syarikat, lengkap dengan teknologi moden termasuk sistem solar, GPS, kamera undur, televisyen dan sistem telematik. Menariknya, kira-kira 80 peratus komponen kenderaan tersebut dihasilkan dalam negara, sekali gus membuktikan keupayaan industri tempatan untuk bersaing di pasaran global.

Namun, apa yang benar-benar membezakan WAWO adalah pendekatannya terhadap perniagaan yang berteraskan nilai keberkatan dan kemanusiaan. Di bawah kepimpinannya, GVT Sdn Bhd (Go Auto) melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk mewakafkan lebih 20 buah van jenazah kepada masjid dan surau, serta menyumbangkan kira-kira 2,000 kampit beras setiap tahun kepada golongan memerlukan.

Terbaharu, WAWO turut mewakafkan sebuah kereta bugi EV untuk kegunaan Madrasah Ustaz Wadi Annuar di Sungai Petani sebagai tanda kesyukuran, memandangkan lokasi tersebut sering menerima kehadiran orang ramai pada setiap hujung minggu.

Selain itu, WAWO juga merupakan antara pelopor usahawan Bumiputera dalam industri automotif yang berjaya menjalin kerjasama strategik dengan pemain industri global. Antara pencapaian utama beliau ialah pelantikan GVT Sdn Bhd sebagai rakan pemasangan dan pengedar bagi dua jenama kenderaan komersial terbesar dari China, iaitu Yutong dan Higer.

Syarikat tersebut juga diberi kepercayaan sebagai pengedar produk Sky Train, selain menjadi pembekal kenderaan kepada pelanggan institusi dan korporat utama seperti Prasarana Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Di sebalik kejayaan itu, perjalanan perniagaan WAWO bukanlah mudah. Pada tahun 2020, syarikatnya hampir terkubur sepenuhnya akibat cabaran yang melanda. Ketika itulah beliau mula mendapatkan bimbingan pementoran perniagaan secara berterusan bersama RichWorks.

Kebangkitan semula selepas hampir rebah sepenuhnya bukan sesuatu yang mudah, namun kisah WAWO membuktikan bahawa tiada yang mustahil dengan bimbingan, keazaman dan kesungguhan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Azizan memaklumkan bahawa WAWO akan berkongsi kisah jatuh bangun kehidupannya dalam rancangan bual bicara Inspirasi SeeNI Bersama Datuk Wira, yang akan bersiaran pada Selasa depan jam 11 pagi di Astro Prima serta secara langsung menerusi YouTube @seeNI.

Kisah kejayaan WAWO bukan sahaja menjadi inspirasi kepada usahawan tempatan, malah membuka mata tentang kepentingan mengimbangi kejayaan perniagaan dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Bagi usahawan yang ingin mendapatkan bimbingan yang tepat dan struktur perniagaan yang tersusun seperti WAWO, boleh layari SME360.com atau WhatsApp 016-2244244.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading