GOOGLE dilapor akan membenarkan pengguna menukar nama akaun Gmail, sekali gus memudahkan mereka menggunakan nama yang lebih sesuai untuk kegunaan profesional.
Menurut dokumen yang muncul di laman rasmi Google Support, ciri ini setakat ini hanya tersedia dalam versi Hindi, menandakan ia mungkin dilancarkan terlebih dahulu di India.
Pengguna boleh memilih nama baharu yang belum digunakan oleh orang lain, namun setiap akaun hanya dibenarkan menukar nama sebanyak tiga kali.
Selepas nama akaun ditukar, emel akan dihantar ke peti masuk akaun lama dan baharu.
Data yang disimpan seperti gambar, mesej serta emel yang dihantar ke alamat lama tidak akan terjejas.
Log masuk ke perkhidmatan Google juga boleh dilakukan menggunakan nama lama atau baharu.
Langkah ini menghapuskan keperluan membuka akaun Gmail baharu kerana semua langganan dan perkhidmatan sedia ada kekal berfungsi.
