WhatsApp Image 2025-12-31 at 09.34.04

Kisah tular pengorbanan seorang suami, Ahmad Hamada Ayueman, yang setia menemani isterinya, Allahyarham Siti Nuraifat Bueraheng atau Aifat, sepanjang perjuangan melawan kanser sarcoma tisu lutut tahap empat, disifatkan sebagai luar biasa dan jarang ditemui dalam realiti kehidupan hari ini.

Kesetiaan Hamada yang sanggup berjuang bersama Aifat sejak awal diagnosis sehingga ke akhir hayat isterinya bukan sahaja menyentuh hati masyarakat, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan perubatan yang terlibat secara langsung dalam rawatan Allahyarham.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd Ridzwan mengakui, pengalaman merawat Aifat serta menyaksikan pengorbanan Hamada menjadi antara detik paling menyentuh perasaannya sepanjang kerjaya perubatan beliau pada tahun 2025.

“Sebagai doktor, kami bukan sekadar melihat seorang pesakit, tetapi menyaksikan sebuah perjuangan suami isteri. Hamada sanggup mengorbankan segalanya demi rawatan isterinya, dan itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Dr Afif, kisah pasangan tersebut yang tular di media sosial membuktikan bahawa perjuangan mereka membawa nilai kemanusiaan yang kuat dan mampu memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

“Apabila sesuatu kisah menjadi tular, biasanya kerana ia menyentuh nilai kemanusiaan. Kisah Hamada dan Aifat membuka mata ramai tentang erti setia, pengorbanan dan kasih sayang sebenar dalam perkahwinan.

“Kita sering mendengar kisah pasangan yang tidak sanggup bersusah payah apabila diuji. Ada yang memilih untuk pergi apabila pasangan jatuh sakit. Namun kisah ini menunjukkan sebaliknya,” ujarnya.

Selain pengorbanan Hamada, Dr Afif turut memuji ketabahan luar biasa yang ditunjukkan oleh Aifat sepanjang menjalani rawatan walaupun berdepan kesakitan dan ujian berat akibat kanser yang dihidapinya.

“Aifat merupakan pesakit wanita yang sangat tabah. Walaupun sedar keadaannya serius, dia tetap berusaha untuk kuat, sentiasa tersenyum dan tidak mengeluh.

“Semangatnya melawan kanser wajar dijadikan inspirasi kepada pesakit kanser lain. Penyakit ini memang tidak mudah, tetapi semangat untuk terus hidup dan berjuang itu sangat penting,” katanya.

Mengulas pemergian Allahyarham, Dr Afif percaya Aifat menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang selepas memberikan segala usaha terbaik sebagai seorang pesakit dan hamba Allah.

“Kehebatan seseorang bukan diukur sama ada dia sembuh atau tidak, tetapi bagaimana dia menghadapi ujian dengan penuh iman dan reda. Aifat telah menunjukkan kehebatan itu,” jelasnya.

Terdahulu, Aifat menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 18 Disember lalu ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan selepas mengalami sesak nafas.

Suaminya, Ahmad Hamada memaklumkan bahawa Allahyarham sempat mengucap di hadapannya sebelum menghembuskan nafas terakhir, satu detik yang mengundang rasa sebak dan simpati dalam kalangan warganet.

Kisah pasangan ini sebelum ini turut mencuri perhatian ramai apabila Hamada sanggup menjual hampir kesemua barangan miliknya termasuk emas serta sebuah kereta mewah BMW demi menampung kos rawatan isterinya, sekali gus mencetuskan perbincangan meluas mengenai pengorbanan seorang suami di media sosial.

@drafif_alfarhain

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Aifat, isteri tercinta kepada Ahmad Hamada. Saya pernah merawat dan menyaksikan sendiri ketabahan arwah ketika melawan kanser, dan sempat menitipkan kata-kata semangat buatnya. Namun, Allah lebih menyayanginya. Semoga Hamada sekeluarga diberi kekuatan, dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Amin Ya Allah. #EnerVast #PusatRawatanAlFarhain #alfarhain24jam #dialisis #alfarhainmedicalcentre

♬ original sound – DR AFIF – DR AFIF

Dr Afif berharap kisah Aifat tidak sekadar dikenang sebagai kisah duka, sebaliknya menjadi sumber kekuatan dan harapan buat pesakit kanser serta keluarga mereka.

“Semoga kisah ini terus menginspirasikan masyarakat untuk menghargai insan tersayang, saling menyokong ketika diuji dan memberi perhatian kepada pesakit kanser. Semoga Allah menerima segala amal arwah dan memberikan kekuatan kepada Hamada serta anak-anak,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading