Kuala Lumpur – MiCasa All Suite Hotel memperkenalkan pengalaman bufet khas sempena Ramadan yang menampilkan pelbagai hidangan yang diinspirasikan daripada masakan Melayu, Cina, India, Thai dan Indonesia. Acara kulinari ini dianjurkan dengan kerjasama Mahsuri Dagang Sdn Bhd dan akan berlangsung dari 26 Februari hingga 17 Mac 2026.
Gabungan rasa terbaik lima negara asia (Melayu, Cina, India, Thailand dan Indonesia) hasil air tangan Chef Adrian pengunjung akan dibawa menikmati hidangan berinspirasi sajian lima rasa tersebut.

“Kami menjamin anda dapat menikmati pelbagai hidangan dengan rasa lebih autentik dan penuh keaslian.
“Seperti tahun lepas, kami menawarkan suasana mesra dan selesa,” katanya baru-baru ini.
Tahun ini Hotel Micasa All Suite juga berkerjasama dengan Mahsuri Dagang Sdn. Bhd.
Lebih menarik, MiCasa All Suite Hotel turut menyediakan stesen di mana chef akan memasak hidangan secara langsung di hadapan pengunjung untuk memastikan hidangan disajikan dalam keadaan segar.
“Dengan cara ini, ia akan memberikan pengalaman interaktif yang menyeronokkan untuk pengunjung melihat sendiri bahan-bahan yang berkualiti digunakan untuk juadah berbuka puasa,” tambahnya lagi.

Sajian 5 Negara, 1 Pengalaman Rasa
Jelajah kulinari ini bermula dengan pembuka selera yang menceriakan mood berbuka. Kerabu Maggi dan Kerabu Kerang Tauge memberikan sentuhan pedas dan segar yang menyelerakan, sementara Som Tam Thai dan Gado-Gado Indonesia menawarkan keseimbangan rasa manis, masam dan rangup.
Hidangan utama pula tampil dengan variasi lebih berani. Pad Kra Pao Beef Thai yang wangi, Ayam Sambal Hijau yang membangkitkan selera, Daging Dendeng yang kaya dengan rempah, Lamb Madras yang harum berempah dan Aloo Masala yang lembut, semuanya diperkaya dengan sentuhan sos dan perisa Mahsuri yang menaikkan keaslian setiap sajian.

Untuk hidangan khas Ramadan, MiCasa menghidangkan Sup Gearbox yang hangat dan mengenyangkan, bersama hidangan Lautan Makanan Laut yang kembali atas permintaan ramai. Pengunjung turut boleh memilih antara Sup Krim Jagung & Isi Ketam atau Sup Labu & Bayam yang lembut dan menenangkan.
Di Stesen Carving pula, Kambing Panggang yang diperap sempurna dihiris segar, sebelum diakhiri dengan sentuhan unik ‘Locing Thai’ yang menambah kelainan.
Aksi memasak secara langsung turut menjadi sebahagian daripada pengalaman berbuka di sini. Stesen India sering menjadi tumpuan, dengan aroma Roti Canai dan Roti Boom panas yang ditebar di depan mata. Murtabak yang padat dengan inti berempah dan dimasak segar melengkapkan kemeriahan suasana.


Bagi mereka yang menggemari snek ringkas, cucur dan goreng-gorengan seperti Cucur Bakwan serta Pisang Goreng berkaramel pasti menjadi pilihan mudah yang tetap memuaskan.
Manisan pula menjadi penamat yang memikat, dengan pelbagai jenis kuih tradisional, ABC dan Cendol yang sejuk menyegarkan, serta Pulut Mangga yang manis dan lembut.
Minuman seperti Teh Tarik dan Kelapa Laut berais pula memberi titik akhir yang menenangkan setelah menikmati pelbagai hidangan.
Suasana di MiCasa All Suite Hotel turut melengkapkan pengalaman berbuka. Ruang makan yang luas dan selesa memberikan peluang untuk keluarga, rakan sekerja atau kumpulan besar berkumpul dalam suasana penuh harmoni, sesuai dengan semangat kebersamaan yang diraikan sepanjang Ramadan.

Harga bufet bermula dari RM148 bersih untuk dewasa dan RM98 bersih untuk warga emas serta kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.
Tawaran bufet Ramadan di MiCasa All Suite Hotel boleh didapati bermula 26 Februari hingga 17 Mac depan dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam.
