khaled22sept25_1758514879

Kuala Lumpur – Kementerian Pertahanan akan melaksanakan rombakan besar-besaran terhadap sistem tadbir urusnya, termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan, sebagai langkah memperkukuh integriti serta menutup ruang kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata rombakan itu merangkumi penilaian semula pelan anti-rasuah kementerian yang disifatkan perlu diberi nafas baharu agar tidak sekadar menjadi dokumen tanpa pelaksanaan berkesan.

Menurut beliau, amalan rasuah dalam sektor pertahanan bukan sahaja mengakibatkan pembaziran dana awam, malah memberi kesan langsung terhadap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Setiap kelemahan dalam sistem perolehan akan menyebabkan negara gagal memperoleh aset pertahanan yang benar-benar berkualiti dan diperlukan. Ini akhirnya melemahkan keupayaan pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Kementerian Pertahanan, di sini.

Mohamed Khaled menjelaskan bahawa kementerian tidak mahu lagi bergantung kepada pelan atau garis panduan semata-mata tanpa tindakan konkrit. Sebaliknya, penambahbaikan akan dibuat secara menyeluruh terhadap mekanisme pelaksanaan agar setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan sebenar.

“Kita sudah mempunyai pelbagai pelan sebelum ini, tetapi banyak yang gagal mencapai matlamat. Apa yang diperlukan sekarang ialah pelaksanaan yang tegas, berkesan dan berintegriti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah dan salah laku tidak bertujuan menganiaya mana-mana pihak, sebaliknya memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, telus dan berlandaskan kepentingan negara.

Dalam usaha itu, kementerian akan memperkukuhkan sistem tatakelola agar tidak memberi sebarang ruang kepada penyelewengan, termasuk dalam proses membuat keputusan berkaitan kontrak, pembelian aset dan pengurusan kewangan.

Mohamed Khaled berkata, pendekatan baharu ini menuntut komitmen semua peringkat warga kementerian serta agensi di bawahnya untuk memastikan prinsip integriti menjadi teras dalam setiap urusan.

“Tiada kompromi terhadap isu integriti. Setiap inci ruang yang boleh membuka peluang kepada salah guna kuasa mesti ditutup,” katanya.

Langkah rombakan tersebut dilihat sebagai usaha penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan Kementerian Pertahanan, khususnya dalam mengendalikan peruntukan besar melibatkan keselamatan negara.

Selain memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemah, tindakan itu juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan perolehan aset pertahanan serta menyokong agenda pemodenan ATM secara lebih berkesan dan mampan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading