Kuala Lumpur – Isu perkahwinan yang tidak memenuhi syarat sah menurut hukum syarak sering dianggap terpencil, sedangkan hakikatnya ia mampu memberi kesan besar terhadap struktur sesebuah keluarga. Mengangkat realiti ini, Astro Shaw tampil membuka tahun 2026 dengan sebuah karya berani berjudul Akad Yang Hilang, sebuah filem yang menyentuh isu sensitif namun jarang diperkatakan secara terbuka iaitu nikah fasid.
Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang berlaku tanpa memenuhi rukun dan syarat sah, sekali gus membawa implikasi serius dari sudut undang-undang serta status anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut. Menerusi Akad Yang Hilang, penonton dibawa menyelami dilema seorang wanita bernama Maryam yang berdepan kenyataan pahit mengenai latar belakang keluarganya.
Maryam merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihannya, Ammar. Namun, dalam proses memohon wali hakim susulan kematian bapanya dan adiknya yang masih di bawah umur, satu pendedahan mengejutkan terbongkar. Mahkamah Syariah memaklumkan bahawa perkahwinan ibu bapanya sebelum ini diklasifikasikan sebagai fasid, sekaligus menimbulkan persoalan besar terhadap status dirinya.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila isu peribadi itu tersebar di media sosial, menjadikan Maryam sasaran kecaman dan stigma masyarakat. Dalam tekanan emosi dan kekeliruan identiti, Maryam perlu mencari kekuatan untuk meneruskan hidup, mempertahankan maruah diri dan menentukan masa depan perkahwinannya.
Konflik inilah yang menjadi tunjang utama Akad Yang Hilang, memperlihatkan bagaimana seseorang boleh terperangkap di antara undang-undang, kepercayaan masyarakat dan hak untuk bahagia. Filem ini mencerminkan realiti pahit yang sering berlaku tanpa disedari, serta mengajak penonton untuk berfikir di luar kerangka prejudis.
Menurut Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif filem ini, Raja Jastina Raja Arshad, Akad Yang Hilang dihasilkan bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, sebaliknya sebagai medium mencetuskan kesedaran sosial. Beliau menegaskan bahawa filem ini diharap mampu membuka ruang perbincangan, bukan sahaja di pawagam, malah dalam kehidupan seharian, kerana kesedaran adalah langkah awal untuk melindungi insan tersayang.

Dari sudut lakonan, Akad Yang Hilang menampilkan Mira Filzah sebagai watak utama, menandakan kemunculan semulanya di layar perak selepas beberapa tahun. Filem ini turut menyaksikan gandingan sulung beliau bersama Syarul Ezany, yang kembali ke pawagam selepas penampilan terakhirnya pada tahun 2008. Turut menguatkan jalan cerita ialah lakonan mantap barisan pelakon berpengalaman seperti Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis.
Filem ini diarahkan oleh Bahri Uma Bajuri, yang membuat debut sulung di layar perak selepas mencipta nama dalam pengarahan drama televisyen. Dengan skrip hasil sentuhan Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar, filem ini disokong dengan elemen emosi yang kuat serta lagu tema berjudul Yang Tertulis nyanyian Dinda Dania.
Akad Yang Hilang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 15 Januari 2026.
