Kuala Lumpur – Nourul muncul dalam konsert yang diimpikan sejak 32 tahun lalu dengan hati yang berbekas rindu dan penuh nostalgia di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu malam.
Menghiburkan lebih 1,000 penonton, pelantun lagu Kerana Terluka itu membuktikan vokal lemak merdunya masih sama namun dalam versi lebih matang dengan 22 lagu yang membangkitkan nostalgia.
Tidak hanya itu, dalam segmen ‘tribute’ kepada artis pujaannya, Nourul turut mendendangkan deretan lagu Janji Manismu, Kau Kunci Cintaku, Madah Berhelah dan Sembilu.
Sesekali, dia bergurau tentang perbezaan persembahan dahulu dan sekarang yang turut mengundang tawa penonton.
“Dulu, minta penonton nyalakan ‘lighter’, sekarang kena buka ‘light phone’ kan,” usiknya lagi.
Turut menyerikan malam itu ialah kemunculan istimewa Mimi Fly yang menghiburkan penonton menerusi lagu Temberang sebelum bergandingan dengan Nourul menerusi beberapa lagu popular termasuk Persamaan, Maafkanku dan Keliru.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan khas Zachary Depp yang mendendangkan lagu Joget Kenangan Manis, nyanyian asal Sudirman Haji Arshad.
“Impian dan perancangan saya akhirnya tercapai selepas 32 tahun,” katanya.
Menutup persembahan, Nourul tampil dalam baju gemerlapan rona kuning dengan lagu yang mengenalkan dirinya di pentas seni iaitu ‘Kerana Terluka’.
Antara artis yang hadir dan memberi sokongan ialah Ning Baizura, Ziana Zain, Fauziah Latif, Sharifah Shahira, Azah Aziz dan Khaty Azian.
