Kuala Lumpur – Usaha untuk menggalakkan adopsi kelestarian (ESG) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi semakin penting agar mereka kekal berdaya saing di masa hadapan. Perkara ini menjadi fokus utama dalam sesi Dialog Laporan Kelestarian PKS (SME Sustanability Reporting Dialogue), yang berlangsung di Bursa Malaysia hari ini.
Dialog ini dianjurkan oleh International Green Technologies Research & Development Institute (IGTI) dengan kerjasama Bursa Malaysia dan Majlis Pembangunan ESG Negara (NESGDC), serta diserikan dengan pelancaran sesi dialog oleh Presiden IGTI, Dr. Liew Wai Loan, yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Majlis turut diserikan lagi dengan penyertaan panel, Penaung Majlis Pembangunan ESG Negara, Prof. Dato’ Dr. GP Doraisamy.
Dialog Laporan Kelestarian PKS merupakan sesi dialog diadakan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemain industri serta persatuan perniagaan dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan ESG dan keupayaan pelaporan.
Sesi ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan secara praktikal, pendekatan laporan yang komprehensif, serta pendedahan ESG yang berstruktur, dengan memanfaatkan Platform Centralised Sustainability Intelligence (CSI) oleh Bursa Malaysia bagi membimbing organisasi sepanjang perjalanan pelaporan ESG mereka.
Menurut Dr. Liew Wai Loan, Laporan ESG amat penting terhadap pertumbuhan PKS dengan menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif untuk menilai trend, amalan dan tahap penerapan ESG terutamanya dalam empat sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian.
“Antara kepentingan dan kebaikan bagi PKS dalam pelbagai industri termasuk servis, ianya mampu memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan memberikan panduan praktikal langkah demi langkah untuk pelaksanaan ESG.
“Selain itu, sebagai tambahan juga ia menyokong pelaporan kelestarian yang berstruktur menggunakan Platform CSI, menyelaraskan amalan perniagaan dengan jangkaan pendedahan yang berkembang disamping memudahkan dialog tertumpu antara pengawal selia, agensi sokongan, dan peserta industri” katanya dalam sidang media.

Tambahnya, PKS perlu mengintegrasikan elemen Alam Sekitar (Environmental), Sosial (Social), dan Tadbir Urus (Governance) ke dalam operasi perniagaan demi kecekapan kos dan meningkatkan reputasi serta daya tahan.
“Cabaran besar masih wujud untuk menggalakkan lebih banyak PKS beralih daripada penerapan separa atau tidak menerap kepada integrasi ESG yang menyeluruh. Menutup jurang ini adalah penting bagi memastikan ESG tidak terhad kepada kumpulan penerap awal sahaja.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ESG tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kewajipan pematuhan. Bagi PKS, ESG boleh memberikan manfaat perniagaan yang nyata jika dilaksanakan secara pragmatik. PKS yang menerap ESG sering menikmati penjimatan kos melalui kecekapan tenaga yang lebih baik, pengurusan sisa yang berkesan dan proses operasi yang lebih tersusun” jelasnya lagi.
Majlis dialog turut disempurnakan dengan barisan speaker antaranya; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Bangunan Hijau Malaysia, Mitch Gelber, Exco NESGDC merangkap Pengarah Ecocentrique Sdn Bhd, Tina Lu Ting Chih, Timbalan Pengarah Perancangan Strategik & Timbalan Ketua Kelestarian MATRADE, Edison Choong dan Pengarah Penyelidikan & Pembangunan dan Kelestarian Saint Gobain, Ng Kah Seng.
Selain itu, majlis tersebut mendapat sokongan daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, The Federation of Malaysian Manufacturing Malaysia Retailers Association (MRA), Persatuan SME Malaysia, Worldwide Consumers’ Association danChina Certification & Inspection Group (CCIC).
