ff

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Januari lalu memutuskan bahawa semua tuduhan yang dilemparkan terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim, suami kepada Allahyarham Faziani Rohban, pengasas Dnars, adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh Ahmad Shah Rizal terhadap dua defendan, iaitu Mohd. Faizul Rohban dan Irdiena Hakim Jasman, masing-masing adik dan anak kepada Allahyarham Faziani Rohban.

Mengulas keputusan tersebut, Ahmad Shah Rizal menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang diambil bukan bertujuan mendapatkan keuntungan kewangan, sebaliknya bagi membersihkan nama, mempertahankan maruah diri serta memelihara keharmonian keluarga.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan. Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan diri saya, malah memberi kesan kepada keluarga dan legasi Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memilih untuk tidak memberi reaksi terhadap sebarang provokasi di media sosial dan menegaskan bahawa keputusan mahkamah merupakan rekod rasmi yang wajar dihormati oleh semua pihak.

Menurut penghakiman mahkamah, defendan gagal membuktikan pelbagai dakwaan yang diterbitkan terhadap plaintif, termasuk kenyataan yang menyentuh aspek peribadi, kekeluargaan serta pengurusan harta peninggalan Allahyarham.

Mahkamah turut menegaskan bahawa kesemua dakwaan tersebut tidak disokong oleh keterangan yang mencukupi dan oleh itu tidak dapat dipertahankan dari sudut undang-undang. Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa plaintif telah difitnah melalui penerbitan kenyataan berkenaan.

Bagi rekod, isu berkaitan kematian Allahyarham Faziani Rohban bukan sebahagian daripada tuntutan saman yang difailkan oleh Ahmad Shah Rizal, sebaliknya perkara tersebut dikemukakan oleh pihak defendan dalam pembelaan mereka.

Selaras dengan keputusan itu, mahkamah telah mengarahkan kedua-dua defendan membayar gantirugi kepada plaintif serta mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui beberapa media arus perdana dan platform digital yang ditetapkan.

Mahkamah juga mengeluarkan satu perintah injunksi kekal yang melarang defendan, termasuk mana-mana ejen atau wakil mereka, daripada menerbitkan sebarang kenyataan lanjut yang mengulangi tuduhan sama atau bersifat fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Ahmad Shah Rizal turut berharap masyarakat dapat mengambil iktibar daripada kes ini serta lebih berwaspada terhadap penyebaran fitnah dan tuduhan tidak berasas yang boleh membawa kesan buruk dari segi undang-undang dan kemanusiaan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading