SINGAPURA – Teksi Malaysia yang beroperasi di Singapura diwajibkan untuk memasang “on board unit” (OBU) bagi sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) 2 sebelum pelaksanaan penuhnya pada 1 Jan 2027.
Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow berkata langkah itu perlu bagi membolehkan kerajaan memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berkenaan jika perlu ketika berada di dalam negara itu.
“Bagi kenderaan persendirian pendaftaran asing, kami menggalakkan mereka memasang OBU untuk pengecasan berasaskan penggunaan, walaupun kami menyedari pelawat sekali-sekala mungkin memilih untuk tidak berbuat demikian.
Kenderaan tanpa OBU masih boleh membayar bayaran rata harian (S$5), sama seperti kereta tanpa unit dalam kenderaan (IU) hari ini,” katanya semasa bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan Lain di Parlimen pada Selasa.
Siow berkata pemasangan OBU adalah mandatori bagi semua kenderaan berdaftar di Singapura memandangkan ia menggunakan teknologi satelit, berbanding sistem gantri untuk menentukan lokasi kenderaan bagi tujuan pengecasan.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, sehingga 31 Januari, kira-kira 930,000 kenderaan di Singapura atau lebih 93 peratus telah memasang OBU berkenaan.
Dalam satu kenyataan, agensi itu percaya ia berada di landasan yang betul untuk menyiapkan latihan pemasangan berkenaan pada tahun ini.
“Bermula 15 Februari 2026, pemilik kenderaan yang telah dijemput untuk memasang OBU tetapi masih belum berbuat demikian akan menerima peringatan terakhir daripada LTA.
“Mereka akan diberikan tempoh tiga bulan dari tarikh pengeluaran peringatan terakhir untuk memasang OBU secara percuma. Selepas tempoh itu, mereka perlu membayar S$35 (RM109) untuk motosikal dan S$70 (RM216) bagi kenderaan lain untuk kos pemasangan,” menurut kenyataan itu.
LTA turut memberi amaran supaya orang yang tidak diberi kuasa tidak menawarkan perkhidmatan berkaitan OBU seperti pemasangan, pembuatan, pengubahsuaian, pengalihan, pembaikan dan pengiklanan.
“Bagi kes serius melibatkan kegagalan pemasangan, pemalsuan atau perkhidmatan OBU tanpa kebenaran, perundangan memperuntukkan penalti sehingga S$20,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
