WhatsApp Image 2026-02-02 at 17.24.08

Kuala Lumpur – Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) terus mengorak langkah besar dalam dunia pendidikan Islam apabila merancang pembinaan sebuah Kolej Islam As Sofa bertaraf universiti di Rembau, Negeri Sembilan, dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM15 juta.

Projek pembangunan kampus kekal itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan akan dibina di atas tanah seluas 3,251 meter persegi. Ia disifatkan sebagai inisiatif terbesar SEG setakat ini dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SEG, Dr. Mohd. Amirul Isma Md. Yusof berkata, pembinaan bangunan kekal yang lengkap dengan kemudahan prasarana merupakan antara syarat utama bagi membolehkan institusi itu dinaik taraf kepada kolej universiti pada masa hadapan.

Menurut beliau, sebagai langkah awal merealisasikan pembinaan kampus berkenaan, pihak SEG telah menganjurkan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana permulaan untuk menampung sebahagian kos pembangunan.

“Pada peringkat awal, kami merancang untuk membina kampus ini di Mantau, namun faktor kesesuaian tanah menyebabkan lokasi tersebut tidak dapat diteruskan. Percubaan seterusnya di Hulu Langat pula berdepan kekangan bekalan elektrik.

“Selepas perbincangan bersama Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yassin tahun lalu, kami akhirnya bersetuju untuk membina kolej ini di Rembau. Pada malam ini, dana yang berjaya dikumpulkan berjumlah RM150,000,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis tersebut.

Tambah beliau, jumlah itu masih jauh daripada sasaran sebenar dan pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat awam serta pihak korporat bagi memastikan pembinaan kampus berkenaan dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Majlis makan malam amal itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, selain empat ulama dari Arab Saudi yang merupakan keturunan Sayyid Ahmad Ibn Idris, iaitu Prof. Dr. Sayyid Toha ibn Sayyid Muhammad al Hasan al Idrisi, Sayyid Walid ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi, Sayyid Ali ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi dan Dr. Sayyid al Hasan ibn Sayyid Ali al Idrisi.

Menurut Dr. Amirul Isma, majlis tersebut bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, malah turut meraikan kejayaan graduan As Sofa yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Ia juga diadakan sempena kejayaan Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad memperoleh PhD dari Universiti Mohammed V, Maghribi pada Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhd. Sufi Ibrahim al Hafiz menjelaskan, antara syarat utama untuk penubuhan kolej universiti ialah keupayaan institusi menampung sekurang-kurangnya 1,000 pelajar serta menawarkan program akademik yang diiktiraf.

“Setakat ini, kami menawarkan empat program pengajian dan dua daripadanya telah menerima kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Dalam masa sama, kami sedang melengkapkan syarat lain termasuk memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga pengajar memiliki kelayakan PhD,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembinaan kampus tetap ini akan melengkapkan sistem pendidikan Yayasan Negeri Sembilan As Sofa (YNSAS) yang merangkumi pendidikan menyeluruh bermula daripada peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah ke peringkat kolej.

“Selain menawarkan pendidikan arus perdana, As Sofa mempunyai pendekatan tersendiri dengan penekanan terhadap tarbiah dan pengajian turath. Kami juga menjalin hubungan erat dengan institusi di Maghribi dan telah menghantar lebih 170 pelajar ke sana sepanjang tempoh 12 tahun lalu,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, selepas lebih 14 tahun beroperasi dengan menyewa bangunan, pembinaan kampus sendiri dilihat sebagai keperluan mendesak demi kelangsungan dan pembangunan jangka panjang institusi tersebut.

“Harapan kami agar usaha ini dapat direalisasikan dengan sokongan semua pihak, demi melahirkan lebih ramai ilmuan dan cendekiawan Islam yang berwibawa pada masa hadapan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi Pembinaan Kampus Tetap Kolej Islam As Sofa boleh menyalurkan ke akaun CIMB 8604424793 (Kolej Islam As Sofa) atau menghubungi Ustaz Shah 013-2107642 untuk pertanyaan lanjut.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading