Kuala Lumpur – Ramadan 2026 menyaksikan De.Wan 1958 by Chef Wan sekali lagi tampil dengan penawaran istimewa yang meraikan keindahan dan kekayaan masakan Melayu warisan, sekali gus mengangkat martabat kulinari tempatan ke tahap yang lebih eksklusif dan moden.
Diterajui oleh cef selebriti tersohor negara, Chef Wan, restoran ini bukan sekadar destinasi berbuka puasa, sebaliknya menjadi platform untuk menghidupkan kembali resipi tradisional yang sarat dengan nilai budaya, sejarah dan nostalgia rakyat Malaysia.

Menurut Chef Wan, masakan Melayu wajar diberi penghargaan yang setimpal kerana ia mencerminkan identiti dan jati diri bangsa, terutamanya ketika bulan Ramadan yang sinonim dengan kebersamaan dan tradisi.
“Setiap hidangan di De.Wan membawa cerita. Ramadan adalah masa terbaik untuk kita meraikan warisan masakan Melayu dan memperkenalkannya kepada generasi baharu dalam suasana yang lebih segar dan kontemporari,” katanya.
Bagi Ramadan tahun ini, De.Wan 1958 menawarkan dua konsep santapan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza. Konsep bufet Ramadan disediakan di The LINC KL dan Bangsar Shopping Centre (BSC), manakala konsep dulang semi-bufet ditawarkan secara eksklusif di The Exchange TRX untuk pengalaman berbuka yang lebih intim dan santai.
Program Ramadan ini akan berlangsung dari 23 Februari hingga 19 Mac 2026, dengan harga bermula sekitar RM148 bersih bagi pra-jualan, bergantung kepada lokasi dan pakej pilihan.

Hidangan Warisan Jadi Fokus Utama
Seiring dengan konsep yang diketengahkan, menu Ramadan 2026 di De.Wan 1958 menampilkan pelbagai sajian klasik Melayu dan hidangan ikonik dari seluruh negara. Antara yang menjadi tumpuan termasuk Udang Galah Kalio, Ayam Percik, Lamb Shank Opor Hijau, serta hidangan kegemaran ramai seperti Char Kuey Teow Pulau Pinang yang disediakan secara langsung.
Turut melengkapkan pengalaman berbuka ialah Lemang Buluh, Nasi Ulam Diraja, Bubur Lambuk, aneka kuih tradisional, sambal warisan serta stesen masakan interaktif yang memberi nilai tambah kepada pengunjung.





Setiap sajian disediakan menggunakan bahan berkualiti tinggi dan teknik masakan tradisional, selari dengan falsafah Chef Wan yang menekankan keaslian rasa dan penyampaian yang elegan.
Selain menu yang pelbagai, De.Wan 1958 turut menonjol dengan suasana restoran yang eksklusif namun mesra, menjadikannya pilihan ideal untuk majlis berbuka bersama keluarga, rakan-rakan atau acara korporat.
Reka bentuk dalaman yang moden dengan elemen tempatan melengkapkan konsep santapan yang menggabungkan tradisi dan gaya hidup kontemporari satu identiti yang sinonim dengan jenama De.Wan 1958.






Komitmen Memelihara Warisan Kulinari
Sejak penubuhannya, De.Wan 1958 by Chef Wan konsisten dalam usaha memartabatkan masakan Melayu tanpa mengorbankan keaslian. Inisiatif Ramadan 2026 ini dilihat sebagai kesinambungan komitmen Chef Wan dalam memastikan khazanah kulinari tempatan terus relevan, dihargai dan mampu berdiri seiring dengan masakan antarabangsa.



Dengan penawaran menu warisan yang eksklusif, suasana santapan yang elegan serta pendekatan yang menghormati tradisi, De.Wan 1958 by Chef Wan menjadikan Ramadan 2026 sebagai satu pengalaman berbuka puasa yang bukan sahaja memuaskan selera, malah menyentuh emosi dan nostalgia pengunjung.
